Selasa, 5 September 2017 | 6:35pm
PEMAIN boling negara, Sin Li Jane tekad mahu tawan AS di Virginia. - Foto Danial Saad
PEMAIN boling negara, Sin Li Jane tekad mahu tawan AS di Virginia. - Foto Danial Saad

Li Jane, Siti Safiyah mahu gegar AS pula

KUALA LUMPUR: Atlet boling negara, Sin Li Jane menawan pentas Eropah tahun lalu apabila muncul juara di San Marino, tahun lalu.

Selepas prestasi cemerlang pada Sukan SEA 2017 lalu, Li Jane kini memasang sasaran untuk menakluk Amerika Syarikat pula dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional Wanita (PWBA).

Bersama-sama Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Li Jane memberi persembahan memukau untuk layak ke pusingan kedua Kejuaraan Jelajah PWBA di Richmond International Raceway di Virginia.

Kejohanan penutup musim itu menghimpunkan 16 pemenang dalam jelayah tahun ini. Li Jane dan Siti Safiyah melepasi kelayakan itu selepas masing-masing menjuarai Terbuka Lincoln dan Wichita pada Jun lalu.

Pada pusingan pertama, Li Jane yang diletakkan sebagai pilihan ke-14, mengejutkan pilihan ketujuh dari Colombia, Rocio Restrepo 223-191, 227-214, 265-230 dalam perlawanan best-of-five.

Siti Safiyah, pilihan ke-13, yang memenangi emas acara berpasukan wanita pada KL2017 lalu, menyingkirkan pilihan kelapan dari Colombia, Clara Guerrero 255-197, 247-277, 221-195, 214-234 dan 241-215.

Li Jane akan berdepan juara Amerika, Shannon O'Keefe, manakala Siti Safiyah pula bertarung dengan Shannon Pluhowsky, juga dari Amerika, pada pusingan kedua.

Mengakui agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang pasang-siap di mana hanya empat lorong digunakan, Li Jane berkata dia mengambil sedikit masa untuk menemui sentuhan.

"Ini kali pertama saya bermain dalam gelanggang pasang-siap seperti ini. Suasananya agak berbeza. Saya membuat sedikit penyelidikan sebelum kejohanan bermula, rupa-rupanya konsep ini pernah digunakan di Jepun, baru-baru ini," kata pemenang tiga pingat emas KL2017 itu.

"Memang seronok mendapat peluang seperti ini. Begitupun, saya perlu bertindak balas dengan pantas dengan lorong yang digunakan. Saya perlu fokus dengan apa yang dilakukan."

Siti Safiyah, 27, turut menikmati pusingan pertama yang sukar tetapi ia tidak menghalangnya untuk meraih kemenangan.

"Pada game terakhir, saya dan Clara melakukan banyak strike. Memang sengit tetapi saya terus fokus ketika balingan. Setiap lorong berbeza, jadi ia menambah keseronokan dalam permainan saya," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X