X
Selasa, 19 September 2017 | 7:28pm
BEKAS ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah berhasrat membantu pembangunan sukan renang negara. - Foto NSTP
BEKAS ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah berhasrat membantu pembangunan sukan renang negara. - Foto NSTP

ASUM sedia timbang jawatan Nurul Huda

KUALA LUMPUR: Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bersikap terbuka dan sentiasa bersedia untuk menerima khidmat bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah serta bekas atlet lain andai mereka berhasrat membantu pembangunan sukan renang.

Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kesediaan Nurul Huda dan mana-mana bekas perenang yang berhasrat membantu peningkatan sukan ini, dan menjelaskan dia sedia berbincang mengenai jawatan spesifik buat pemenang 22 pingat emas sepanjang sejarah Sukan SEA itu.

"Kita akan pertimbangkan (mengenai hasrat Nurul Huda membantu negara) dan saya sudah berjumpa dengannya, cuma saya masih belum berkesempatan untuk berbincang dengannya.

"Dia (Nurul Huda) dilihat sentiasa bersemangat serta mahu melihat seseorang memecahkan rekodnya yang masih bertahan dan sukar dipecahkan sehingga kini, sama ada atlet lelaki mahupun perempuan. Jadi kehadiran Nurul Huda sendiri boleh membantu... bukan saja Nurul Huda tetapi mana-mana pihak sama ada bekas perenang, bekas atlet kerana kita mengalu-alukan mereka.

"Saya tidak ada masalah, malah sentiasa bersikap terbuka kepada semua pihak yang ingin berikan bantuan kerana kita akan sediakan ruang dan saluran," kata Shahidan yang menganggap kenyataan Nurul Huda untuk berikan sokongan dan khidmat sudah cukup bermakna.

Untuk rekod, baru-baru ini Nurul Huda yang sudah menetap di Kuala Lumpur sejak 2003 selepas berkelana ke Australia dari 1981, memberi bayangan yang dia akan kembali menggegar kolam renang selepas bersara 27 tahun lalu.

Pemegang rekod pemenang pingat emas terbanyak Malaysia dalam sejarah Sukan SEA itu bagaimanapun menegaskan dia tidak berhasrat untuk aktif berenang semula, sebaliknya membantu melahirkan lebih ramai 'Nurul Huda'.

Hasrat itu turut disambut baik Majlis Sukan Negara (MSN) apabila Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan yang dia akan berbincang dengan ASUM mengenai tugas dan peranan yang boleh dimainkan Nurul Huda.

Dalam perkembangan sama, Shahidan ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 hari ini, menjelaskan pihaknya kini sedang mencari penaja buat pasukan renang dan terjun kerana sukan ini sudah mencapai taraf dunia tetapi belum mempunyai penaja yang hebat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X