Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:53pm
TIMBALAN Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mohd Azhari Mohamad (tiga dari kanan) bersama atlet negara pada sidang media Hari Sukan Negara 2017 di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mohd Azhari Mohamad (tiga dari kanan) bersama atlet negara pada sidang media Hari Sukan Negara 2017 di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

100 atlet riuhkan sambutan HSN 2017

PUTRAJAYA: Kira-kira 100 atlet Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan turun padang menjayakan Hari Sukan Negara (HSN) 2017 yang diadakan di seluruh negara, Sabtu ini.

Daripada jumlah berkenaan, hanya 22 atlet diminta memeriahkan sambutan tahun ketiga HSN peringkat kebangsaan manakala selebihnya peringkat negeri.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mohd Azhari Mohamad, berkata langkah itu bagi merancakkan lagi suasana sambutan HSN di setiap negeri.

"Sebagai contoh di Sarawak kita menghantar pulang ratu terjun negara Pandalela Rinong untuk riuhkan sambutan HSN di sana, manakala Amsyar Azman (Perlis).

"Kita yakin menerusi langkah memberi keistimewaan kepada rakyat di negeri itu bersama atlet masing-masing dapat menyemarakkan lagi sambutan HSN tahun ini," katanya dalam sidang media khas di KBS, petang tadi.

Malah, ada beberapa kelainan pada sambutan HSN kali ini apabila KBS juga lebih menggalakkan rakyat menganjurkan aktiviti secara sukarela dengan hanya perlu berdaftar menerusi laman web www.harisukannegara.com.my.

Selain itu, acara separuh maraton HSN21KM yang menjadi tarikan utama turut diadakan pada sebelah malam kali ini berbanding awal pagi pada tahun lalu.

Menurut Azhari, walaupun setakat ini pihaknya hanya baru menerima pendaftaran lebih 2,000 aktiviti, namun perkara itu tidak membimbangkannya.

"Untuk tahun ini kita lebih tekankan kepada rakyat untuk lakukan aktiviti secara sukarela tanpa perlu KBS atau pihak berkaitan menganjurkan aktiviti seperti sebelum ini.

"Memang jumlah itu ketara jika dibezakan 20,000 aktiviti pada sambutan HSN tahun lalu tetapi harus kita ingat ada di kalangan rakyat yang menganjurkan aktiviti tanpa melakukan pendaftaran."

Pelbagai aktiviti akan dijalankan serentak di seluruh negara Sabtu ini, termasuk sambutan di peringkat Putrajaya menyaksikan kira-kira 16,000 murid akan mengambil bahagian dalam aktiviti 10,000 langkah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan.

Untuk tahun ini, sambutan perasmian HSN peringkat kebangsaan akan dijalankan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, KBS turut menyeru semua rakyat yang turun memeriahkan HSN 2017 memuat turun gambar di media sosial menggunakan #HSN2017, #negarakubersukan, #GetTheGameOn dan #Jomturunpadang.

Senarai atlet HSN 2017 (Peringkat Kebangsaan)

1. Cheong Jun Hoong (Terjun)

2. Nur Dhabitah Sabri (Terjun)

3. Leong Mun Yee (Terjun)

4. Jasmine Lai Pui Yee (Terjun)

5. Kimberley Bong (Terjun)

6. Hanis Nazirul Jayasurya (Terjun)

7. Syakilla Salni (Karate)

8. Wong Weng Son (Wushu)

9. Diana Bong (Wushu)

10. Farah Ann Abd Hadi (Gimnastik)

11. Tan Ing Yueh (Gimnastik)

12. Gan Hua Wei (Renang berirama)

13. Izzah Amzan (Gimrama)

14. Hafizuddin Mat Daud (Boling padang)

15. Syed Akmal Fikri Syed Ali (Boling padang)

16. Khairul Hafiz Jantan (Olahraga)

17. Ziyad Zolkefli (Olahraga)

18. Mohd Ridzuan Puzi (Olahraga)

19. Abd Latif Romly (Olaharaga)

20. Siti Nor Radiah (Olahraga)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X