Isnin, 16 Oktober 2017 | 12:58am
PELUMBA basikal para negara, Mohd Najib Turano mahu mengharumkan nama negara dalam acara trek pecut berpasukan di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Belanda, Mac depan. - Foto Hazreen Mohamad

Najib sasar Sukan Paralimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya meraih empat emas pada temasya Sukan Para ASEAN 2017, pelumba para basikal kategori C4 negara, Mohd Najib Turano mahu mengharumkan nama negara dalam acara trek pecut berpasukan di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Belanda, Mac depan.

Sebagai persediaan awal, pelumba berasal dari Banting, Selangor berusia 30 tahun itu berkata, dia dan rakan sepasukannya menyertai Piala Jepun 2017 (trek) di Jepun bulan depan dan Terbuka New Zealand, awal Disember ini.

Selain itu, Najib dan rakan sepasukannya perlu berlatih bersungguh-sungguh dan berusaha keras bagi memastikan mereka menduduki ranking terbaik dalam tiga perlumbaan itu sekali gus melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Kejayaan dalam tiga perlumbaan ini penting kerana boleh membantu kami mengumpul sebanyak mungkin mata untuk layak secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti.


MOHD Najib Turano akan menyertai Piala Jepun 2017 (trek) di Jepun bulan depan dan Terbuka New Zealand, awal Disember ini sebagai persediaan awal ke Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Belanda, Mac depan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Saya juga berusaha sedaya upaya untuk meraih pingat pingat emas trek berpasukan dan dua acara kegemaran saya iaitu satu kilometer ujian masa individu lelaki (C4) serta empat kilometer kejar-mengejar sekiranya ia dipertandingkan di Sukan Para Asia Indonesia 2018," katanya.

Pada temasya Para KL2017 lalu, Najib meraih empat pingat emas menerusi acara lebuh raya kategori C4 diikuti acara ujian masa individu (ITT) lebuh raya, ITT 1km dan 4km kejar mengejar individu dalam acara trek.

Mengulas lanjut, Najib berkata, semangatnya mewakili negara kini semakin membara selepas menghadiahkan empat pingat emas dalam acara trek dan lebuh raya di Sukan Para ASEAN 2017.

Dalam pada itu Najib juga melahirkan hasrat untuk menggunakan wang ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk membawa ibunya, Salbiah Suar, 62, dan isteri, Rosewati Mohamed Ali, 32, menunaikan ibadah Umrah, tahun depan.

"Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar saya akan bawa mak dan isteri saya menunaikan Umrah tahun depan," katanya.

Berita Harian X