Isnin, 16 Oktober 2017 | 7:38pm
PEMAIN hoki negara, Faizal Saari (no 10) mengawal bola sambil dikawal pemain Oman pada aksi Kumpulan A Piala Asia di Dhaka, Bangladesh. - Foto Asian Hockey Federation

Belasah Oman, Malaysia kekal rekod tanpa kalah

KUALA LUMPUR: Malaysia menewaskan Oman 7-1 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Kumpulan A Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, hari ini.

Kemenangan itu adalah yang ke-13 ke atas Oman dan keputusan itu mengatasi rekod kemenangan 6-1 ke atas lawan sama ketika Pusingan Dua Liga Dunia di venue yang sama, Mac lalu.

Dengan sembilan mata dikumpul selepas tiga perlawanan, Malaysia mengungguli Kumpulan A dan kini berada di landasan tepat untuk memburu pingat dalam perlawanan round robin.

Dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia mengambil langkah mengelak kecederaan itu, skuad kebangsaan membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi Faizal Saari.

Tengku Ahmad Tajuddin meledak gol kedua pada minit ke-18 sebelum Shahril Saabah menambah derita lawan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti.

Tengku Ahmad Tajuddin menambah gol pada minit ke-23 sebelum Faizal meledak jaringan keduanya selang empat minit kemudian dan Amirol Arshad meledak gol keenam pada minit ke-40.

Najmi Jazlan meledak gol ketujuh negara pada minit ke-42 dan gol sagu hati Oman dihasilkan Salmeen Al Nofali pada minit ke-25.

Berita Harian X