Khamis, 19 Oktober 2017 | 4:04pm
KETUA jurulatih skuad hoki wanita, Dhaarma Raj Abdullah bawa lapan penyerang yang akan beraksi dalam kempen Piala Asia di Jepun bermula 28 Oktober ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dhaarma bawa 8 penyerang ke Jepun

KUALA LUMPUR: Dhaarma Raj Abdullah membuat perjudian besar apabila menyenaraikan lapan penyerang dalam barisan 18 pemain skuad hoki wanita negara yang akan beraksi dalam kempen Piala Asia di Jepun bermula 28 Oktober ini.

Menurutnya, keputusan di luar kebiasaan itu terpaksa dilakukan selepas mengambil kira masalah ketumpulan jentera serangan selain faktor ketiadaan dua pemain tengah berpengalaman, Fazilla Sylvester Silin dan Noor Hasliza Ali.

Bagaimanapun, ia langsung tidak menimbulkan rasa bimbang buat pengendali Malaysian Tigress itu yang percaya ada di kalangan penyerangnya juga boleh beraksi di posisi tengah.

"Sejak kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Belgium lagi saya tidak berpuas hati dengan jentera serangan kerana banyak mensia-siakan peluang.

"Situasi ini berterusan di Sukan SEA 2017 dan saya mahu pemain tahu jika situasi ini berterusan (tumpul) maka saya tanpa ragu-ragu akan gugurkan mereka," katanya pada sidang media pengumuman barisan 18 pemain ke Piala Asia, sebentar tadi.

Daripada 18 pemain dibawa ke Jepun, hanya dua pertukaran dibuat berbanding skuad emas Sukan SEA 2017 dengan tumpuan pasti terarah kepada pemilihan penyerang berusia 16 tahun, Nur Maizatulhanin Syafi Sheikh Fuad di samping Siti Shahida Saad.

Bagaimanapun Dhaama, 48, yang juga bekas tonggak Sukan Olimpik Barcelona 1992 mempunyai alasannya tersendiri.

"Kita kekurangan pemain berkualiti, atas sebab itu saya perlu membuka pintu kepada pemain muda yang berpotensi untuk mendapat pendedahan secukupnya supaya satu hari nanti kita lebih kuat.

"Saya tidak kisah sekiranya kita berkorban kejayaan masa kini untuk satu kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Bagi mempertingkatkan pasukan kita sememangnya perlu memberi pendedahan kepada pemain muda."

Di Jepun nanti, faktor lambakan penyerang mungkin menyaksikan kelibat pemain seperti Wan Norfaiezah Saiuti, Surizan Awang Nor dan Fatin Syafika Md Sukri akan ditagih di bahagian tengah.

Senarai 18 pemain skuad hoki wanita negara:

Penjaga gol: Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz

Pertahanan: Juliani Din, Siti Noor Amarina Ruhani, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Siti Shahida Saad, Siti Rahmah Othman

Tengah: Noraini Rashid, Norbaini Hashim, Nur Syafiqah Mohd Zain

Penyerang: Fatin Shafika Md Sukri, Hanis Nadiah Onn, Nurul Nabihah Mansur, Norazlin Sumantri, Surizan Awang Noh, Nuraslinda Said, Nur Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad, Wan Norfaiezah Saiuti

Berita Harian X