Ahad, 22 Oktober 2017 | 10:39pm
PEMAIN Malaysia, Aiman Nik Rosemi (kanan) diasak pemain Great Britain, Jack Waller pada aksi Kejohanan Hoki bawah 21 tahun Piala Sultan Johor 2017 di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

Hoki Piala Sultan Johor: Malaysia langkah kiri

JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja negara dipalit kekalahan pertama selepas tewas tipis 0-1 kepada Great Britain, di Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Walaupun tewas, persembahan positif yang dipamerkan ketika menentang Great Britain itu harus dipuji apabila pemain negara memberikan tentangan sengit.

Dalam aksi tadi, pintu gol skuad remaja negara cemas seawal minit kedua selepas Great Britain meraih dua pukulan sudut penalti, namun benteng anak didik Wallace Tan masih mampu bertahan.

Percubaan terbaik Malaysia hadir pada minit ketujuh apabila Norsyafiq Sumantri melakukan pukulan kilas, namun bola sedikit tersasar dari gawang gol ketika penjaga gol, Chris Wyver sudah tertewas.

MUHAMMAD Ishak (kanan) bersaing dengan emain Great Britain, Benjamin Francis (kiri) pada saingan Kejohanan Hoki bawah 21 tahun Piala Sultan Johor 2017 di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

Ketika tempoh aksi suku pertama berakhir, Great Britain yang dibimbing Jon Bleby gagal menggunakan kesempatan mencipta jaringan selepas meraih tiga pukulan sudut penalti berturut-turut.

Hasrat Malaysia untuk membuka tirai jaringan pada aksi suku kedua tidak kesampaian walaupun meraih pukulan sudut penalti pada minit ke-22, apabila bola tolakan Firdaus Omar dihalang Wyver yang sempat merebahkan badan.

Di penghujung suku ketiga, Zaidi Hafizuddin terlepas peluang terbaik mencipta jaringan pada minit ke-34 selepas bola pukulan deras di dalam kawasan D dihalang Wyver yang masih kebal menjaga gawang.

Malah percubaan Nik Aiman Nik Rosemi pada minit ke-47 juga digagalkan Wyver yang bijak menutup ruang bagi mengelak pintu gol Great Britain dibolosi.

Benteng tuan rumah akhirnya roboh pada minit ke-51, selepas Duncan Scott melakukan pukulan kilas dan bola sekadar masuk di celah kaki penjaga gol, Adrian Albert.

Sementara itu, juara bertahan, Australia mudah meratah pendatang baharu, Amerika Syarikat 19-0 sekali gus mendominasi tangga teratas kejohanan edisi ketujuh.

Jaringan besar itu adalah rekod jaringan terbanyak yang dihasilkan dalam sejarah saingan Piala Sultan Johor sejak diperkenalkan pada 2011.

Pada aksi pembuka tirai, juara remaja dunia, India bergelut untuk meraih kemenangan selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Jepun 3-2 yang tampil dengan corak permainan konsisten sebelum tewas.

KEPUTUSAN:

India 3 ; Jepun 2

Australia 19 ; Amerika Syarikat 0

Malaysia 0 ; Great Britain 1

KEDUDUKAN

P M S K J B MATA

Australia 1 1 0 0 19 0 3

India 1 1 0 0 3 2 3

Great Britain 1 1 0 0 1 0 3

Jepun 1 0 0 1 2 3 0

Malaysia 1 0 0 1 0 1 0

Amerika Syarikat 1 0 0 1 0 19 0

Jadual Perlawanan: Isnin 23 Oktober 2017

Australia mln Jepun (4.05 petang)

Amerika Syarikat mln Great Britain (6.05 petang)

India mln Malaysia (8.35 malam)

Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Berita Harian X