Selasa, 24 Oktober 2017 | 6:16pm
PEMAIN Malaysia, Shello Silverius (kanan) diasak Pemain India, Vishal Antil (dua dari kanan) pada aksi Kejohanan Hoki bawah 21 tahun Piala Sultan Johor 2017, di Stadium Hoki Taman Daya. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Misi mesti menang jumpa Jepun

JOHOR BAHRU: Skuad remaja negara tiada pilihan sebaliknya perlu menang ke atas Jepun pada kejohanan hoki Piala Sultan Johor B-21 di Stadium Hoki Taman Daya, malam esok, jika mahu mengelak daripada berada di kelompok bawah.

Selepas dua perlawanan skuad kendalian Wallace Tan gagal meraih sebarang mata apabila tumpas kepada Britain 0-1 sebelum tewas kepada juara remaja dunia, India 1-2 sekali gus menyukarkan laluan mereka menempatkan diri ke saingan final edisi ketujuh kejohanan itu.

Bagaimanapun pengurus pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampak tidak cemas dengan situasi itu sebaliknya menganggap pemain muda yang kebanyakannya kali pertama beraksi di pentas antarabangsa mendapat pendedahan berguna.

"Tidak seperti skuad senior, pemain dalam pasukan ini masih muda dan perlu meningkat ke satu tahap lagi. Mereka belum cukup kuat di pentas antarabangsa dan perlu banyak belajar namun saya optimis aksi menentang Jepun, esok, mereka akan bangkit.

"Kami banyak melakukan kesilapan memasuki aksi suku ketiga selepas bermain baik di suku pertama dan kedua. Pemain India mempunyai kemahiran tinggi dan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menjaringkan gol.

"Ketika menentang India, kami mendapat tujuh pukulan sudut penalti namun hanya satu saja yang berhasil dengan jaringan. Kelemahan ini harus diperbaiki kerana peluang sebegini tidak harus dilepaskan ketika menentang Jepun," kata Nor Saiful.

Bagi Wallace, aksi menentang Jepun amat penting dan kemenangan amat ditagih bagi memastikan skuad remaja negara kembali bersaing sekurang-kurangnya untuk berada di kelompok tiga teratas.

Katanya, apa juga kesilapan dalam dua aksi lalu akan dikaji malah akan mempertajamkan lagi pukulan sudut penalti yang tampak masih tumpul.

Pada edisi tahun lalu, skuad remaja negara yang dibimbing Wallace tewas 1-2 kepada Jepun dan pastinya aksi malam esok tampak sengit untuk menebus kekalahan lalu tatkala pasukan itu masih dibimbing Kyoichi Nagaya.

"Kami akan turun dengan aksi lebih konsisten kerana kemenangan amat penting bagi meningkatkan kembali moral pemain yang agak kecewa selepas tewas dalam dua perlawanan.

"Apa pun menentang Jepun bukanlah tugas mudah kerana pasukan itu memiliki corak permainan agresif namun akan cuba memberi yang terbaik dan mengelak daripada tewas buat kali ketiga," kata Wallace.

PIALA SULTAN JOHOR 2017

ESOK

Britain mln Australia (4.05 ptg)

Amerika Syarikat mln India (6.05 ptg)

Malaysia mln Jepun (8.35 mlm)

(Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru)

KEDUDUKAN P M S K J B Mt

Australia 2 2 0 0 23 0 6

Britain 2 2 0 0 12 0 6

India 2 2 0 0 5 3 6

Malaysia 2 0 0 2 1 3 0

Jepun 2 0 0 2 2 7 0

AS 2 0 0 2 0 30 0

Berita Harian X