Khamis, 26 Oktober 2017 | 10:40pm
KAPTEN Malaysia, Nik Aiman Nik Rosemi (kiri) diasak dua pemain Amerika Syarikat, Finlay Quaile dan Liam Hawley pada kejohanan hoki B-21 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KAPTEN Malaysia, Nik Aiman Nik Rosemi (kiri) diasak dua pemain Amerika Syarikat, Finlay Quaile dan Liam Hawley pada kejohanan hoki B-21 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Skuad Wallace belasah Amerika

JOHOR BAHRU: Selepas gagal dalam tiga perlawanan sebelum ini, akhirnya skuad remaja negara meraih tiga mata pertama apabila membelasah Amerika Syarikat 18-0 pada kejohanan hoki B-21 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, petang tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Wallace Tan tampak selesa untuk bersaing bagi aksi penentuan klasifikasi tempat ketiga dan keempat pada kejohanan edisi ketujuh dan sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila menduduki tangga kelima.

"Jaringan besar yang diperoleh dalam perlawanan itu tadi amat penting bagi menjarakkan perbezaan gol dengan Jepun kerana mereka juga bersaing merebut tempat bagi penentuan tempat ketiga dan keeempat dan saya gembira dengan kemenangan ini," kata Wallace.

Seawal minit keempat tuan rumah berjaya memecah kebuntuan menerusi gol padang kapten Aiman Nik Rosemi yang bertindak menyusup ke dalam kawasan D sebelum memukul bola tepat menewaskan penjaga gol, Nathaniel O'Lari.

Selang seminit kemudian gol kedua terhasil oleh gol padang Aiman dan kemudian tuan rumah terus menghukum benteng skuad Uncle Sam apabila Akhimullah Anuar mencipta gol pada minit keenam bagi meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 3-0.

Pada suku kedua, skuad remaja negara mengambil kesempatan kelemahan benteng skuad kendalian Brian Scheldron apabila Hafizuddin Zaidi yang tidak dikawal mudah memukul deras bola untuk menjaringkan gol pada minit ke-17 dan disusuli gol oleh Firdaus Omar pada minit ke-18 menerusi pukulan sudut penalti.

Aiman melakar hatrik selepas menjaringkan gol padang pada minit ke-21 dan kemudian mencipta gol keempat peribadi apabila mudah menjaringkan gol padang selang semint kemudian dan diikuti giliran Akhimullah mencipta gol kedua peribadi pada minit ke-23 hasil gol padang.

PEMAIN Malaysia, Muhammad Abu Kamal (kiri) berebut bola dengan kapten Amerika Syarikat, Christian De Angelis (dua dari kanan) pada kejohanan hoki B-21 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN Malaysia, Muhammad Abu Kamal (kiri) berebut bola dengan kapten Amerika Syarikat, Christian De Angelis (dua dari kanan) pada kejohanan hoki B-21 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Tatkala aksi babak kedua bersambung pada suku ketiga, Firdaus yang sering kecewa menerusi pukulan sudut penalti kembali menemui sentuhan selepas menjaring gol kedua peribadi pada minit ke-32 manakala gol ke-10 tuan rumah dijaringkan Azrai Abu Kamal pada minit ke-33.

Disusuli gol padang pada minit ke-40 oleh Luqman Ahmad Sukran dan Akhimullah muncul pemain kedua melakar hatrik pada minit ke-41 manakala gol ke-13 tuan rumah hasil jaringan Azrai pada minit ke-50.

Firdaus muncul penjaring hatrik ketiga tuan rumah selepas meledak jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-54 dan kemudian giliran Azrai penjaring gol hatrik keempat tuan rumah selepas menjaring gol pada minit ke-55.

Akhimullah mencipta gol kempat peribadi pada minit ke-56 diikuti gol Shafiq Hassan pada minit ke-58 dan Aiman menambah jaringan kelima peribadi selang seminit kemudian untuk kemenangan pertama skuad remaja negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X