Jumaat, 27 Oktober 2017 | 4:32pm
AKSI pemain Malaysia, Muhammad Abu Kamal (kiri) berebut bola dengan kapten USA, Christian De Angelis (kanan) pada Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor, kelmarin. - Foto Mohd Azren Jamaludin
AKSI pemain Malaysia, Muhammad Abu Kamal (kiri) berebut bola dengan kapten USA, Christian De Angelis (kanan) pada Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor, kelmarin. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Skuad Wallace intai ikat Burras

JOHOR BAHRU: Skuad remaja negara memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri apabila bertemu Australia jika mahu mengesahkan tempat beraksi dalam penentuan klasifikasi tempat ketiga dan keempat pada kejohanan hoki B-21 Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, esok.

Walaupun tampak sukar kerana skuad Burras juga inginkan kemenangan bagi memburu tiket final dalam usaha mempertahankan kejuaraan, mereka juga menaruh harapan Britain mampu menewaskan India pada aksi terakhir.

Jurulatih skuad remaja negara, Wallace Tan mengakui berdepan situasi mencemaskan sama ada mampu untuk bersaing pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat memandangkan Jepun juga mampu memintas bagi merebut posisi kelima kejohanan itu.

"Kami tidak boleh tewas kepada Australia kerana Jepun pasti mampu melakar kemenangan besar ke atas Amerika Syarikat dan jika ini berlaku ditambah dengan kekalahan kepada Australia mungkin kami terpaksa beraksi pada penentuan tempat kelima-keenam.

"Saya mahu pencapaian tempat kelima tahun lalu diperbaiki dan berharap Amerika Syarikat tidak memberi laluan mudah kepada Jepun untuk menang besar dan kami enggan kecewa lagi beraksi di penentuan tercorot saingan.

"Apa pun persiapan menentang Australia tetap dirancang dan saya amat berpuas hati dengan perkembangan positif setiap pemain apabila berjaya menjaringkan gol menerusi gol padang ketika menentang Amerika Syarikat," katanya.

Wallace menegaskan rentak permainan konsisten menjadi nadi utama apabila berdepan juara bertahan yang memiliki skil tinggi dan corak permainan agresif dan setiap pemain muda negara harus bersedia menampilkan aksi terbaik mereka.

Katanya, tiada pemain skuad remaja negara yang mengalami kecederaan sepanjang mengharungi empat perlawanan dan aksi terakhir menentang skuad kendalian Brent Livermore seharusnya tidak timbul rasa gentar dan perlu fokus.

"Usah beri ruang kepada lawan (Australia) mengawal permainan sebaliknya kami kena beri tekanan sepanjang perlawanan dan ambil kesempatan menjaring gol terutama pukulan sudut penalti dan saya lega apabila Firdaus Omar sudah selesa melakukan penyudah tepat," kata Wallace.

HOKI PIALA SULTAN JOHOR

ESOK

Britain mln India (4.05 ptg)

Australia mln Malaysia (6.05 ptg)

Jepun mln Amerika Syarikat (8.05 mlm)

(Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru)

KEDUDUKAN P M S K J B Mt

Britain 4 4 0 0 19 3 12

India 4 3 0 1 30 7 9

Australia 4 3 0 1 29 7 9

Malaysia 4 1 1 2 20 4 4

Jepun 4 0 1 3 4 11 1

Amerika S 4 0 0 4 0 70 0

Berita Harian X