Ahad, 29 Oktober 2017 | 10:35pm
PENERJUN negara, Pandelela Rinong meraih 345.15 mata dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Terjun Siri Dunia ketiga, pagi tadi. - Foto Yazit Razali
PENERJUN negara, Pandelela Rinong meraih 345.15 mata dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Terjun Siri Dunia ketiga, pagi tadi. - Foto Yazit Razali

Pandelela terlepas peluang raih gangsa

KUALA LUMPUR: Penerjun negara Pandelela Rinong terlepas peluang untuk meraih pingat keduanya di Kejohanan Terjun Siri Dunia ketiga di Montreal, Kanada, pagi tadi.

Penerjun dari Sarawak itu yang beraksi dalam acara 10 meter (m) platform individu meraih 345.15 mata sekali gus menamatkan saingan di tangga keempat, 11.1 mata ketinggalan di belakang pemenang pingat gangsa.

Seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong pula menamatkan saingan di tempat keenam selepas meraih 298.7 mata.

Acara itu dimenangi penerjun dari China yang menguasai kedudukan satu dua dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Qian Ren meraih emas selepas menghimpun 395.85 mata, perak milik Si Yajie (377.65) manakala gangsa diraih penerjun tuan rumah, Meaghan Benfeito (354.65).

Ia hari yang kurang bertuah buat dua penerjun negara itu selepas menyumbangkan emas pada saingan hari pertama dalam acara 10m seirama.

Bagaimanapun, Jun Hoong menegaskan dia sudah melakukan yang terbaik dan berpuas hati apabila dapat menyumbangkan emas pertama kepada negara.

"Tuah lebih memihak kepada kami kelmarin," kata Jun Hoong.

Awal pagi ini, penerjun negara meneruskan saingan dengan Nur Dhabitah Sabri akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu.

Sebelum ini Dhabitah yang berpasangan bersama Leong Mun Yee menamatkan saingan dalam acara 3m seirama di tempat keenam.

Berita Harian X