Rabu, 8 November 2017 | 1:20pm
PESILAT kebangsaan berasal dari Kuala Terengganu, Siti Rahmah Mohamed Nasir sudah membuat persiapan rapi demi pingat emas.

Siti Rahmah sudah bersiap ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Walaupun Sukan Asia 2018 di Indonesia masih berbaki kira-kira 10 bulan sebelum berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September tahun hadapan, namun pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir sudah membuat persiapan rapi demi memastikan impiannya memenangi pingat emas menjadi realiti.

Selepas membantu negara mengungguli emas Kelas E (65-70kg) acara silat di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos lalu, tiada istilah rehat bagi Olahragawati Kebangsaan 2016 itu.

Malah, dia terpaksa mengetepikan kepentingan keluarga semata-mata bagi memberi tumpuan kepada rutin latihan harian apatah lagi Sukan Asia kelak akan adalah penyertaan pertama dan terakhirnya.

"Ini adalah pertama kali acara silat dipertandingkan pada Sukan Asia. Oleh itu, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengambil bahagian malah akan memastikan Malaysia membawa pulang pingat emas.

"Lebih bermakna jika menang, pingat emas Sukan Asia ini kelak bukan sahaja bakal menjadi yang pertama malah terakhir untuk saya.

"Ini kerana saya berhasrat untuk bersara selepas temasya sukan berkenaan bagi memulakan karier baru sebagai jurulatih," ujar Siti Rahmah.

Pesilat kebangsaan berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu itu berkata, pembabitan hampir satu dekad dalam sukan berkenaan serta pelbagai pencapaian termasuk tiga kali merangkul emas Kejuaraan Silat Dunia pada 2012, 2015 dan 2016 dianggap sudah memadai.

Apatah lagi faktor umur yang mencecah 30 tahun pada 7 Ogos lalu menuntut kudrat yang bukan sedikit untuk menyaingi lawan lebih muda.

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya bersara serta beralih perhatian kepada bidang kejurulatihan. Jika diberi peluang, saya mahu memulakan karier kejurulatihan bersama negeri kelahiran saya dengan membimbing skuad silat SUKMA Terengganu.

"Tapi, sebelum bersara, saya mahu memastikan ia diraikan dengan pingat emas Sukan Asia 2018. Untuk itu saya perlu membuat persediaan rapi daripada sekarang.

"Saya menjangka akan menerima saingan sengit daripada pesilat muda Indonesia Pipiet Kamelia dan Nguyen Thi Yen dari Vietnam.

"Walaupun saya mengalahkan Kamelia 5-0 pada Sukan SEA, Ogos lalu tapi saya melihat dia berpotensi serta mempunyai semangat juang yang tinggi. Nguyen pula memang sentiasa menjadi seteru utama saya.

"Justeru saya perlu bekerja keras serta berkorban termasuk mengetepikan komitmen terhadap keluarga terutama terhadap adik saya (Uthman Mohamed Nasir) yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat kemalangan jalan raya sehari sebelum saya bertanding di final Sukan SEA, 29 Ogos lalu," katanya.

Berita Harian X