Jumaat, 10 November 2017 | 1:25am
AKSI Frederick Croneborg ketika menjuarai Ironman Malaysia di Langkawi, tahun lalu.

Croneborg mahu terus kuasai Ironman Malaysia

Kuala Lumpur: Juara bertahan, Fredrik Croneborg yakin mampu mempertahankan gelaran juara yang dimenanginya tahun lalu menjelang edisi kelima Ironman Malaysia di Langkawi, Sabtu ini.

Atlet triathlon dari Sweden berusia 36 tahun itu yang muncul juara tahun lalu dengan catatan 8 jam 29 minit 12 saat mengaku teruja apabila dapat kembali ke Langkawi.

"Saya sudah menyertai pelbagai perlumbaan di seluruh dunia tetapi Ironman Malaysia tetap perlumbaan kegemaran saya. Perlumbaan di sini istimewa kerana di sinilah saya menjuarai perlumbaan Ironman pertama saya.

"Langkawi adalah destinasi percutian yang sangat indah dan saya ke sini biarpun selepas kerjaya perlumbaan saya berakhir.

Turun sebagai juara bertahan, saya berharap dapat memperbaiki catatan masa saya berbanding tahun lalu serta mempertahankan kejuaraan saya," katanya.

Sementara itu, bagi kategori wanita profesional, kelibat Diana Riesler dari Jerman dijangka menjadi tumpuan sebagai berdasarkan reputasinya selaku juara 3 edisi berturut-turut Ironman Malaysia bermula pada 2014, 2015 dan 2016.

"Ironman Langkawi pada tahun 2008 adalah perlumbaan pertama saya dalam siri Ironman dan ketika itu saya masih amatur dan saya berjanji untuk kembali berlumba di sini sebagai atlet profesional. Pada tahun 2014, saya kembali ke Langkawi sebagai atlet profesional dan berjaya memenangi perlumbaan Ironman pertama saya.

"Iklim tropika Langkawi dan sambutan masyarakat setempat membuatkan ia cukup istimewa. Saya tidak sabar untuk kembali berlumba di Langkawi dan memenangi sekali lagi bergelar juara," katanya.

Seramai 1,800 atlet menyertai untuk perlumbaan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi. Ironman 70.3 Langkawi menawarkan 30 slot ke Kejuaraan Ironman 70.3 Dunia 2018 di Teluk Nelson Mandela, Afrika Selatan manakala Ironman Malaysia menawarkan 50 slot kelayakan mengikut umur ke perlumbaan Kejuaraan Ironman Dunia 2018 di Kailua-Kona, Hawaii, Amerika Syarikat.

Berita Harian X