Sabtu, 18 November 2017 | 10:02pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar (tengah) berkenan menerima replika cek sumbangan bagi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang disampaikan Pengerusi Penganjur, Tan Sri Esa Mohamad (enam dari kanan) ketika majlis makan malam Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana 2017 di The ELS Club Desaru-The Ocean, Desaru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana kumpul RM3.158 juta

KOTA TINGGI: Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana 2017 di The ELS Club Desaru-The Ocean, hari ini berjaya mengumpul RM3.158 juta untuk disalurkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF).

Pengerusi penganjur kejohanan, Tan Sri Esa Mohamed, berkata jumlah itu hasil sumbangan daripada badan korporat selain hasil kutipan RM20,000 bagi setiap 'flight' membabitkan penyertaan keseluruhan 32 `flight'.

"Sambutan tahun ini sangat bagus kerana ramai yang ingin mengambil bahagian tetapi tidak cukup tempat dan ini bermakna ahli korporat serta konglomerat semakin minat menyertai kejohanan golf amal.

Kejohanan ini diadakan atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan ia diadakan setiap tahun. Menariknya, penyertaan badan korporat pada tahun ini melebihi 20 penyertaan sekali gus ia lebih baik berbanding tahun lalu.

"Sekiranya ramai lagi berminat untuk menyertai kejohanan ini pada tahun depan, mungkin kita akan mengadakan dua pusingan dan semua bergantung kepada penyertaan nanti," katanya pada Majlis Penutupan dan Santapan Diraja bersama Sultan Ibrahim.

Esa berkata, antara penyumbang terbesar ialah Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, yang menyumbang RM1 juta dan turut menyumbang Ranhill SAJ (RM500,000).

Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan Piala Pusingan Laksamana seberat 14 kilogram yang bernilai RM411,322 kepada pasukan Kumpulan Tanglin yang berjaya memungut mata tertinggi, 24 mata.

Media Prima Berhad yang menjadi rakan media rasmi kejohanan diwakili Pengurus Besar Kumpulan Bahagian Pengurusan Risiko, Mohd Hisham Shazli.

Berita Harian X