Sabtu, 18 November 2017 | 10:26pm
PEMENANG pingat emas Sukan SEA, Ng Eain Yow raih gelaran ketiga selepas memenangi Terbuka Australia di Darwin hari ini. - Foto Yazit Razali
PEMENANG pingat emas Sukan SEA, Ng Eain Yow raih gelaran ketiga selepas memenangi Terbuka Australia di Darwin hari ini. - Foto Yazit Razali

Eain Yow ungguli Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Sukan SEA Ng Eain Yow meraih gelaran ketiga kariernya dalam siri Jelajah PSA selepas memenangi Terbuka Australia di Darwin hari ini.

Namun bekas juara dunia Rachael Grinham menafikan kejuaraan berganda buat Malaysia apabila menewaskan pemain remaja S Sivasangari 11-5, 11-9, 11-7 dalam final wanita, 12 tahun selepas memenangi kejohanan itu buat kali pertama.

Eain Yow terus menunjukkan keselesaannya di Darwin, di mana dia turut memenangi Terbuka Northern Territory pada Mei, dengan kemenangan 13-11, 11-6, 11-9 ke atas pilihan kedua kejohanan Joshua Larkin pada aksi final.

Ia adalah kemenangan ketiga Eain Yow ke atas pemain ranking ke-71 dari Australia itu tahun ini, termasuk Terbuka Northern Territory di mana dia bangkit daripada ketinggalan dua permainan untuk meraih kejuaraan.

Eain Yow, di ranking ke-65 dunia, menyertai kelompok bekas juara-juara dunia yang pernah memenangi Terbuka Australia, antaranya Jahangir Khan, Chris Dittmar, Rodney Martin, Jonathan Power dan Ramy Ashour.

"Saya suka datang ke sini dan bermain, bukan kerana saya menang," kata Eain Yow, 19. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada teman-teman dan rakan sepasukan di atas sokongan mereka. Ia minggu yang hebat buat saya."

Naib juara Terbuka Malaysia, Eain Yow mengekalkan rentak kemenangannya selepas mengejutkan pilihan utama kejohanan Rex Hedrick di separuh akhir, dengan bangkit daripada ketinggalan dua permainan untuk memenangi set pertama menentang Larkin, dan terus menguasai babak kedua.

Di set ketiga, juara remaja dunia 2016 itu mendahului 6-3 tetapi Larkin menyamakan kedudukan pada 6-6 sebelum Eain Yow bangkit mengesahkan kejuaraan.

Impian Sivasangari, 18, untuk meraih gelaran Jelajah PSA keempat berturut-turut dan menjadi pemain Malaysia kedua memenangi kategori wanita Terbuka Australia selepas Datuk Nicol David melakukannya pada tahun 2011 dan 2012, tidak kesampaian.

Rachael, 40, dari Australia ternyata jauh lebih berpengalaman dan berjaya menamatkan deretan kemenangan 14 perlawanan pemain remaja negara itu yang sepanjang aksi cemerlang berkenaan berjaya merangkul tiga kejuaraan - Beijing Challenge Cup, pusingan 11 Jelajah Malaysia dan Terbuka Malaysia.

Berita Harian X