Rabu, 6 Disember 2017 | 11:37pm
PEMAIN hoki wanita kebangsaan, Surizan Awang Noh (kiri) tetap positif untuk merebut tempat dalam senarai 18 pemain terbaik ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Surizan mula rasa bahang

KUALA LUMPUR: Kehadiran ramai pemain muda dalam pasukan hoki wanita kebangsaan sedikit menggugat kedudukan Surizan Awang Noh, namun penyerang negara itu tetap positif untuk merebut tempat dalam senarai 18 pemain terbaik ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Dalam senarai 26 pelatih yang diumumkan semalam, menyaksikan pengendali negara Dhaarma Raj Abdullah menyenaraikan 10 penyerang termasuk dua muka baru - Siti Zulaika Hussin dan Nor Atira Mohamad.

Tujuh lagi penyerang adalah Hanis Nadiah Onn, Fatin Shafiqah Mahd Sukri, Nurul Nabihah Mansor, Norazlin Sumantri, Nuraslinda Said, Nuramirah Syakirah Zulkifli dan Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad.

"Saya amat bersyukur kerana jurulatih masih meletakkan kepercayaan kepada saya selepas menampilkan prestasi agak menurun kebelakangan ini.

"Namun kedudukan saya masih belum selesa kerana kebanyakan pemain muda yang dipanggil kali ini agak bagus, wujud persaingan hebat dalam pasukan" katanya sebentar tadi.

Selepas permulaan cemerlang, prestasi Surizan kemudian terumbang-ambing dan akibatnya namanya diketepikan untuk menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, Julai lalu.

Namun, dia kembali menambat hati Dhaarma untuk disenaraikan pada dua kejohanan terakhir iaitu Sukan SEA 2017 dan Piala Asia di Jepun, bulan lalu.

Walaupun tidak mampu menyembunyikan kebimbangan selepas pernah digugurkan, penyerang berusia 23 tahun yang juga boleh beraksi di posisi tengah itu tetap positif dengan kemunculan ramai pemain muda.

"Selain mewujudkan persaingan lebih sihat, tindakan jurulatih ini untuk memastikan skuad negara tidak ketandusan pelapis untuk masa depan. Jadi kami menerimanya sebagai satu perkara yang positif."

Berita Harian X