Selasa, 9 Januari 2018 | 5:43pm
PERSEKUTUAN Wushu Malaysia menyenaraikan 11 atlet namun hanya tujuh atlet akan diletakkan dalam senarai akhir ke Sukan Asia Indonesia. - Foto Zulfadhli Zulkifli

WFM waspada kes doping atlet

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta sejarah hitam pingat emas pertama negara di Sukan Asia 2014 Incheon ditarik balik akibat doping, Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) lebih berhati-hati dalam memastikan atlet mereka tidak terbabit dalam kes berkenaan sekali lagi.

Pada 2014, Tai Cheau Xuan yang memenangi acara Nandao dan Nanquan wanita didapati positif menggunakan bahan terlarang, sibutramine hingga menyebabkan pingat emas sulung negara terpaksa dipulangkan.

Selain pingat ditarik balik, Cheau Xuan mengaku dia mengambil ubat kurus menyebabkannya positif doping dan menerima hukuman penggantungan empat bulan.

"Kita lebih berhati-hati kerana ia menjadi pengajaran buat kami. Kini kami lebih berwaspada terutama dalam pemantauan terhadap atlet dan berikan panduan kepada atlet supaya tidak mengulangi kesilapan sama," kata Naib Presiden WFM, Wong Kim Swee.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke Sukan Asia Indonesia, di sini, hari ini.


ATLET wushu negara, Loh Jack Chang antara nama awal yang disenaraikan. - Foto Khairull Azry Bidin

Mengenai pemilihan atlet ke Sukan Asia, Kim Swee berkata, pihaknya menyenaraikan 11 atlet namun hanya tujuh atlet akan diletakkan dalam senarai akhir pada Jun ini.

"Kami akan membawa 11 atlet ini untuk menjalani latihan di China dan terus ke Jepun bagi menyertai pertandingan diaturkan di sana selama 45 hari bermula Mac ini.

"Ini adalah kali pertama kita mengadakan latihan panjang di luar negara dan mereka akan sekali lagi ke China pada Jun selama 30 hari," katanya.

Pada temasya kali ini, wushu mempertaruhkan lapan pingat emas dengan sasaran pingat diletakkan di bahu atlet negara.

"Masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran berapa pingat emas namun kita mempunyai kekuatan dalam acara changquan lelaki dan nanquan wanita," katanya.

Mengikut senarai awal, antara nama yang disenaraikan adalah atlet senior Loh Jack Chang dan Diana Bong.

Berita Harian X