Jumaat, 19 Januari 2018 | 6:48pm
JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin tetap membara apabila menyasarkan melakukan balingan melebihi 65 meter (m) tahun ini. - Foto fail

Irfan sasar lebur rekod lagi

KUALA LUMPUR: Walaupun dihimpit kecederaan pinggang hujung tahun lalu, motivasi dan semangat jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin tetap membara apabila menyasarkan melakukan balingan melebihi 65 meter (m) tahun ini.

Menurut pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55m itu, kecederaannya makin pulih dan sudah bersedia beraksi pada dua temasya iaitu Sukan Komanwel Gold Coast, April ini serta Sukan Asia Jakarta dan Palembang, Ogos depan.

"Setakat ini, semuanya Alhamdulillah. Kecederaan saya pun sudah nampak peningkatan (pulih), dan memandangkan kalendar tahun ini padat dengan kejohanan, saya harap akan kekal cergas dan tidak cedera.

"Namun, saya tetap perlu waspada kerana bila sekali cedera tak mustahil ia berulang. Jadi, perkara itu perlu saya jaga agar prestasi kekal hingga hujung tahun ini.

"Jika semuanya baik, saya berazam buat balingan lebih dari 65m sekali gus mengatasi rekod peribadi dan kebangsaan," katanya yang akan mengikuti siri latihan di Australia bersama jurulatihnya, Mac ini.

Sepanjang tahun lalu, anak jati Negeri Sembilan itu muncul antara atlet olahraga paling konsisten dalam setiap pertandingan disertai apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak tiga kali.

Irfan juga membuat kejutan di Kejohanan Balapan dan Padang Asia (ATF) ke-22 di Bhubaneswar, India apabila memenangi pingat perak untuk menjadi atlet pertama Malaysia meraih pingat di saingan itu.

Bukan itu sahaja, dia turut cemerlang di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu dengan meraih emas hatrik selepas memenanginya di Myanmar (2013) dan Singapura (2015).

"Saya selalunya letak sasaran tinggi dalam setiap kejohanan dan kalau ikutkan saya boleh buat lebih baik tahun lalu, tetapi kecederaan membataskan pergerakan saya," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X