Jumaat, 19 Januari 2018 | 10:09pm
SETIAUSAHA Agung MAKAF, Vincent Chen yakin lebih ramai atlet karate layak ke Tokyo 2020. - Foto Saifullizan Tamadi

MAKAF optimis lebih ramai layak ke Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) optimis sekurang-kurangnya tiga atlet akan layak bertarung di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketika ini, MAKAF berada di kedudukan selesa selepas tujuh atlet berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dengan kutipan mata ranking diambil kira untuk ke Sukan Olimpik.

"Penyertaan di Olimpik dikira berdasarkan mata ranking dunia," kata Setiausaha Agung MAKAF, Vincent Chen kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

"Ranking minimum untuk berada dalam kelompok berkenaan adalah 100 terbaik dunia. Buat masa ini, yang sudah layak (berada dalam kelompok berkenaan) seperti Syakilla (Salny Jefry Krishnan) dan (Shree) Sharmini (Segaran).

"Ada tujuh kesemuanya dalam 100 terbaik dan mereka berada dalam 50 terbaik. Jadi, kami selesa berada kelompok itu dan sasaran utama adalah berada dalam 10 terbaik dunia.

"Dalam ranking 10 terbaik dunia ketika ini, kami mempunyai Syakilla, (Lim) Chee Wei dan Celine Lee (Xin Yi). Tiga kesemuanya dan yang lain berada di ranking 11 hingga 30 terbaik.

"Kita memang mempunyai harapan, bukan saja tiga tetapi untuk beberapa atlet yang lain juga, kapten pasukan (R Shamendran) juga melakukan yang terbaik dan dia antara prospek."

Mengulas mengenai kejohanan utama MAKAF untuk tahun ini, Vincent meletakkan Sukan Asia di Indonesia dan Kejohanan Dunia sebagai fokus utama.

"Program terdekat Terbuka Paris. Pasukan senior akan ke Paris minggu ini dan dua minggu selepas itu ke Liga Perdana Dubai pula.

"Ini tahun yang penting buat MAKAF kerana pusingan kelayakan Olimpik sudah bermula dan bagi kami kesemua kejohanan penting," katanya.

Berita Harian X