Rabu, 24 Januari 2018 | 9:00pm
PENGARAH Pengurusan PDRM dan Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pemain pada majlis meraikan pemain Hoki Wanita Blue Warriors PDRM bagi Liga TNB MHL 2018 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - Foto Asyraf Hamzah

Atlet PDRM wakil negara tak bertugas PRU-14

KUALA LUMPUR: Atlet negara yang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan terbabit dengan tugasan ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rajab.

Katanya, pihaknya tidak berdepan masalah untuk memberi pelepasan kepada atlet terbabit kerana tugasan untuk negara juga tidak kurang pentingnya.

"Saya rasa keseluruhannya kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 dan kita tiada masalah memberi pelepasan kepada anggota yang mewakili negara untuk meneruskan latihan bersama skuad kebangsaan.

"Buat masa ini, saya lihat ia bukannya masalah besar. Bukannya hingga 1,000 anggota kita mewakili negara, mungkin hanya ratusan tetapi saya tidak bimbang kerana kita mempunyai keanggotaan yang cukup untuk menghadapi PRU-14," katanya selepas majlis memperkenalkan barisan pemain pasukan Blue Warriors bagi saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2018 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ketika ini antara anggota PDRM yang mewakili negara adalah pelumba basikal, Mohammed Fauzan Ahmad Lutfi dan Nurul Suhada Zainal selain Razie Rahim (hoki), Nabil Fiqri Mohd Noor (hoki) dan Nur Farah Ayuni (hoki).

Dan pelepasan sama juga mungkin diberikan kepada pemain yang mewakili pasukan PDRM dalam saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) seperti V Kavi Chelvan.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafar menegaskan pihaknya juga sebulat suara akan menangguh sebarang aktiviti sukan dalaman yang bertembung mahupun hampir sama tarikh dengan PRU-14.

Berita Harian X