Rabu, 24 Januari 2018 | 9:25pm
PENGARAH Pengurusan PDRM dan Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab (lima dari kanan) dan Pengelola Pasukan Hoki PDRM, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (lima dari kiri) bergambar bersama pemain pada majlis meraikan pemain Hoki Wanita Blue Warriors PDRM bagi Liga TNB MHL 2018 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - Foto Asyraf Hamzah

Ghafar cabar Blue Warriors

KUALA LUMPUR: Skuad Blue Warriors harus berada dalam keadaan tertekan menjelang aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2018 menentang PKS Uniten-KPT esok, apabila dicabar oleh bos mereka, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab untuk kembali merampas kejuaraan dimenangi TLHT musim lalu.

Cabaran itu oleh dilontarkan Abdul Ghafar yang juga Pengarah Pengurusan, Bukit Aman dalam satu majlis memperkenalkan barisan pemain pasukan yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu di sini, hari ini.

"Kita sudah membuat persiapan rapi untuk membentuk pasukan yang kuat bagi musim ini termasuk mengikat khidmat tiga bekas pemain India iaitu Narinder Kaur, Ritu Rani dan Reena Rani.

"Memang harapan kita sekiranya boleh mahu menjuarai saingan liga musim ini dan kita percaya dengan kehadiran lima pemain kebangsaan dan tiga import dari India ini mampu menambah kekuatan Blue Warriors," katanya.

Bagaimanapun, misi itu sukar dicapai ketika skuad Blue Warriors berdepan kekangan masa mempersiapkan pasukan selepas pada awalnya hampir menarik diri daripada saingan liga 2018.

Malah, kelewatan itu juga membawa kepada kegagalan pengurusan mengikat lebih ramai pemain kebangsaan dengan kebanyakan mereka menyertai PKS Uniten KPT sekali gus menjadikan skuad kendalian Lailin Abu Hassan itu sebagai pilihan kali ini.

Daripada lima pemain kebangsaan yang memperkuatkan skuad Blue Warriors hanya penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, Nuraslinda Said dan Norbaini Hashim pernah beraksi di pentas antarabangsa ketika Siti Zulaika Hussin dan Nor Asfarina Isahyifika Issahidun baharu diserapkan.

Sementara itu, pengendali pasukan, Zulkhairi Ariffin mengakui pasukannya masih bergelut dengan masalah keserasian menjelang aksi ketiga liga menentang pasukan di kedudukan kedua liga PKS Uniten KPT di Stadium Hoki Bukit Jalil, esok.

"Selepas dua perlawanan (terikat 1-1 dengan TLHT dan menang 4-3 ke atas UiTM) saya melihat jurang tahap permainan pemain tempatan dan import agak ketara dan saya saya rasa sukar untuk kita memburu kejuaraan, tetapi apapun boleh berlaku," katanya.

_____________________________

JADUAL PERLAWANAN

ESOK

KL Wipers mln MSN Kedah

Std Hoki KLHA, 5ptg

TLHT mln Penang Juniors

Std Hoki Batu Burok, 5ptg

PKS Uniten-KPT mln Blue Warriors

Std Hoki Bkt Jalil,5ptg

KEDUDUKAN

P M S K J B MT

TLHT 3 2 1 0 9 1 7

PKS UNITEN - KPT 2 2 0 0 15 1 6

UITM 3 2 0 1 8 4 6

BLUE WARRIORS 2 1 1 0 5 4 4

KL WIPERS 2 0 1 1 1 5 1

PENANG JUNIORS 3 0 1 2 2 9 1

MSN KEDAH 3 0 0 3 0 16 0

Berita Harian X