Khamis, 25 Januari 2018 | 5:39pm
JUARA bertahan Liga Perdana, KLHC mungkin terkesan dengan keputusan PDRM tidak membenarkan anggotanya mewakili pasukan terbabit. Razie Rahim (kanan) adalah anggota PDRM yang beraksi bersama KLHC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PDRM 'gari' 5 pasukan

KUALA LUMPUR: Lima pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2018 mungkin terpaksa mengharungi baki saingan dengan kekurangan pemain selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membenarkan anggotanya mewakili pasukan terbabit.

Arahan itu dikeluarkan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab semalam.

Difahamkan, Abdul Ghafar tidak gembira dengan bilangan anggota PDRM yang ramai mengambil keputusan beraksi dengan pasukan lain.

Paling terkesan dengan keputusan itu sudah tentu juara bertahan Liga Perdana, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang mungkin terpaksa beraksi tanpa dua tonggak, Razie Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor yang juga anggota PDRM.

Naib juara liga musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) juga bakal kehilangan khidmat pertahanan Baljit Singh Sarjab dengan tiga lagi pemain PDRM beraksi dalam Divisyen 1 bersama pasukan lain.

"Pada mulanya hanya satu atau dua pemain saja tetapi sebaik liga bermula semakin banyak pasukan yang memohon kebenaran untuk menggunakan khidmat pemain kita.

"Antaranya Pasukan Hoki Kedah-NI (Megat Azrafiq Termizi), UiTM KPT (Khairul Naim Johari) dan MBPJ Tigers (Mohd Razali Zulkipli) dan pasukan ini tidak membawa sebarang imej PDRM, jadi atas sebab itu saya tidak meluluskan", kata Abdul Ghafar.

Berikutan permintaan yang tinggi untuk beraksi dalam saingan MHL, Abdul Ghafar berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menghantar semula pasukan bekas naib juara Divisyen 1 itu pada musim depan.

"Saya sudah mengarahkan pegawai menghantar pasukan pada musim depan selepas gagal mengambil bahagian tahun ini kerana masalah teknikal," kata Abdul Ghafar.

Bagaimanapun, perkara terbabit masih belum muktamad kerana terikat dengan dasar yang ditetapkan oleh PDRM berhubung status pemain.

Info

Jadual esok:

KLHC mln Maybank

(Std Hoki KLHA, 5ptg)

TNB T'bolts mln UniKL

(Std Hoki Bkt Jalil, 7.30mlm)

THT mln TNB

(Std Hoki Batu Burok, 5ptg)

Berita Harian X