Ahad, 28 Januari 2018 | 7:43pm
JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei perlu melepasi ketinggian 2.30m sekiranya berhajat raih pingat pada Sukan Komanwel Gold Coast. - Foto Osman Adnan

Hup Wei perlu lepasi 2.30m

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei perlu melepasi ketinggian 2.30 meter (m) sekiranya berhajat membawa pulang pingat dari Sukan Komanwel Gold Coast, Australia April depan.

Jurulatihnya, Alex Stewart berkata, kejayaan anak didiknya memenangi pingat emas dengan melakukan lompatan peribadi terbaik 2.28m pada Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia semalam mampu menjadi tonik terbaik kepadanya.

"Saya harap dengan kejayaan meraih emas itu, Hup Wei terpilih beraksi di Sukan Komanwel kerana dia sememangnya layak untuk berada di sana. Sekiranya terpilih dan mahu memenangi pingat, dia perlu melakukan lompatan melebihi 2.30m.

"Namun, antara atlet yang mampu menghalangnya ialah Robbie Grabarz dari United Kingdom, Brandon Starc (Australia), Michael Mason (Kanada) dan rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa," kata Stewart ketika dihubungi di Sydney, Australia hari ini.

Lompatan 2.28m yang dilakukan Hup Wei di Canberra itu mengatasi catatan peribadi terbaiknya iaitu 2.27m yang dicipta ketika Grand Prix Asia 2010 di Chennai, India.

Pencapaian berkenaan turut membolehkan nama Hup Wei berada di kedudukan pertama ranking Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk musim 2018.

Nauraj yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m sekadar menamatkan saingan di tempat kelima selepas melepasi ketinggian 2.15m.

Sementara itu, Hup Wei ketika dihubungi berkata dia gembira dengan dengan pencapaian itu dan berharap dapat beraksi di Sukan Komanwel.

"Saya anggap kejayaan ini permulaan baik tahun ini dan harap dapat beraksi di Gold Coast," katanya.

Berita Harian X