Ahad, 4 Februari 2018 | 9:08pm
PEMENANG pingat emas acara memanah compound individu lelaki dan wanita, Nur Aina Yasmine Halim (kiri) bersama Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli pada temasya SUKIPT 2018, hari ini. - Foto Mohd Khairie Khalid
PEMENANG pingat emas acara memanah compound individu lelaki dan wanita, Nur Aina Yasmine Halim (kiri) bersama Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli pada temasya SUKIPT 2018, hari ini. - Foto Mohd Khairie Khalid

Aina, Alang raih emas compound

BANGI: Status bukan pilihan menjadi kelebihan buat Nur Aina Yasmine Halim untuk muncul pemenang pingat emas acara compound individu wanita pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018, hari ini.

Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) itu juga tenang mengawal sasarannya walaupun tiupan angin agak kuat di Stadium Pavillion, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kejayaan Aina turut mengecewakan pemanah tumpuan, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang hanya menamatkan saingan di kedudukan keempat pada 339 mata.

"Saya bukan seorang atlet kebangsaan dan hanya pemanah bukan pilihan di sini. Tetapi saya berpegang kepada prinsip semua orang boleh mendapatkan pingat, jadi saya bersaing tanpa memikirkan orang lain.

"Tak sangka juga boleh menang pada hari ini kerana tiupan angin agak kuat di pusingan kedua. Ramai yang kecundang tapi saya hanya kekalkan momentum serta buat panahan dengan tenang," kata Aina.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata dia sudah mencapai sasarannya untuk mendapatkan satu pingat emas di SUKIPT, namun menjadi bonus buatnya jika mampu menambah kilauan emas dalam acara lain selepas ini.

Sementara itu, pingat emas compound lelaki menjadi milik Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dari Universiti Multimedia yang mengumpul 663 mata.

Menurut Alang dia ketinggalan dan berasa agak tertekan di peringkat awal tetapi kembali memperkemas panahannya untuk memastikan kemenangan.

"Ini perlawanan pertama dan emas pertama buat saya. Kejayaan ini milik saya selepas mulai bangkit ketika prestasi tidak memberangsangkan di awal permainan.

"Selepas SUKIPT saya akan menyertai perlawanan percubaan Sukan Asia di Jakarta pada 8 Februari kerana ia salah satu medium pemilihan atlet untuk ke Sukan Asia," katanya.

Sebanyak 14 pingat emas ditawarkan dalam sukan memanah menerusi temasya SUKIPT kali ini.

KEPUTUSAN

Compound lelaki

Emas: Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli (MMU), 663

Perak: Mohd Hakhiki Mohd Kamro (UNISZA), 660

Gangsa: Muhammad Fahrur Rosi Choiril Anuar (MSP), 657

Compound wanita

Emas: Nur Aina Yasmine Halim (UNISZA), 642

Perak: Syarah Syuhaidah Abas (UPM), 638

Gangsa: Iman Aisyah Norazam (UNISZA), 636

Berita Harian X