Isnin, 19 Februari 2018 | 3:34pm
CHEAH (tengah) masih belum memperoleh buku panduan teknikal pertandingan boling Sukan Asia.

Boling negara kehilangan 4 pingat Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Belum pun bermula, skuad boling negara sudah terlepas peluang merebut empat pingat emas pada Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Ketua jurulatih negara Holloway Cheah berkata, walaupun mereka masih belum memperoleh buku panduan teknikal, namun beliau difahamkan tuan rumah tidak akan mempertandingkan acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

"Kami dimaklumkan format pertandingan akan diubah dengan kini akan mempertandingkan acara berpasukan seramai enam pemain berbanding lima pemain sebelum ini.

"Mereka juga akan bertanding dalam acara trio kerana acara perseorangan dan beregu tidak ada lagi, jadi acara yang akan dipertandingkan hanyalah trio, enam sepasukan dan Masters yang mana hanya dua pemain terbaik setiap negara berpeluang untuk layak," katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Holloway berkata, beliau sudah mengenal pasti enam pemain lelaki dan enam pemain wanita untuk menyertai temasya itu dengan pasukan wanita negara diketuai Shalin Zulkifli yang muncul juara pada Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, tahun lalu akan disenaraikan ke Indonesia.

"Tidak semestinya nama yang saya senaraikan ini akan pergi. Jika ada pemain persembahannya merosot atau mengalami kecederaan, maka saya akan mempertimbangkan untuk menggantikan dengan kemungkinan memasukkan pemain pelapis," katanya.

Ketika ditanya mengenai sasarannya, Holloway berkata, beliau mengharapkan satu pingat emas dapat diraih terutama sekali daripada pasukan wanita yang beraksi cemerlang tahun lalu pada Sukan SEA dan Kejohanan Dunia.

Pada temasya lalu di Incheon, skuad boling negara menghadiahkan empat pingat perak menerusi Sin Li Jane (perseorangan wanita), trio lelaki (Syafik Ridhwan Malek, Timmy Tan dan Zulmazran Zulkifli), beregu wanita (Shalin dan Li Jane) serta berpasukan lelaki (Syafiq, Timmy, Adrian Ang, Zulmazran, Rafiq Ismail dan Alex Liew.

SENARAI PEMAIN KE SUKAN ASIA 2018

Lelaki: Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Malek, Alex Liew, Timmy Tan, Ahmad Muaz Fishol dan Adrian Ang.

Wanita: Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah, Sin Li Jane dan Natasha Roslan.

Berita Harian X