Jumaat, 2 March 2018 | 5:12pm
PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang bertekad memberikan persembahan terbaik dalam acara 200m pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018, esok. - Foto Hazreen Mohamad

Peluang Azizulhasni tebus kecewa

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek Malaysia, Azizulhasni Awang mahu menebus kegagalannya mempertahankan gelaran 'Raja Keirin Dunia' apabila dijadualkan beraksi dalam acara pecut 200 meter (m) pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018 di Apeldoorn, Belanda, esok.

Azizulhasni menegaskan dia perlu berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan terbaik jika mahu menebus kegagalan mempertahankan jersi Pelangi akibat terkandas di pusingan penyingkiran (repechage) acara keirin, semalam.

"Sabtu ini (esok) adalah acara terakhir saya iaitu 200m pecut. Saya bertekad memberikan persembahan terbaik dalam acara ini. Jadi saya mengharapkan anda memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan saya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan penaja kerana sokongan padu diberikan mereka selama ini. Saya terima kegagalan ini dan menganggapnya sebagai satu permulaan bagi mendapatkan kejayaan lebih besar, pada masa depan," jelas Mohd Azizulhasni menerusi Instagram miliknya, @azizulawangofficial, hari ini.

Terdahulu pada saringan keenam di pusingan pertama Azizulhasni berada pada kedudukan ketiga dengan saingan dimenangi pencabar dari Columbia, Fabian Hernando Puertas Zapati yang meraih tiket automatik ke pusingan kedua.

Keadaan itu memaksa The Pocket Rocketman mengharungi pusingan penyingkiran dan perlu muncul juara untuk layak ke pusingan kedua.

Bagaimanapuan, dia terpaksa akur kepada pelumba di ranking nombor satu dunia, Andrii Vynokurov dari Ukraine apabila menamatkan perlumbaan pada kedudukan kedua pada saringan pertama repechage.

Manakala, seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom turut terkandas dalam saingan repechage.

Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata dia juga tidak pernah membayangkan kegagalan mempertahankan gelaran juara dunia keirin walaupun selepas sekadar menduduki tempat ketiga pada pusingan pertama dan gagal melakukan kebangkitan dalam pusingan penyingkiran. 

"Saya sudah berjuang sehingga ke akhir dan sudah melakukan di luar kemampuan sebenar saya. Saya juga tidak mahu memberikan alasan berhubung kekalahan itu melainkan faktor cuaca sejuk melampau dan jangkitan virus antara punca prestasi saya terjejas. 

"Bagaimanapun, saya dapat merasakan kayuhan saya jauh lebih lemah berbanding prestasi ketika menyertai Kejohanan Basikal Trek Asia (ACC) di Nilai, Malaysia, sebelum ini," katanya.

Berita Harian X