Ahad, 4 March 2018 | 5:31pm
KETUA jurulatih basikal trek negara, John Beasley menyifatkan insiden jangkitan virus menimpa Azizulhasni Awang sebagai satu pengajaran. - Foto Eizairi Shamsudin
KETUA jurulatih basikal trek negara, John Beasley menyifatkan insiden jangkitan virus menimpa Azizulhasni Awang sebagai satu pengajaran. - Foto Eizairi Shamsudin

Beasley anggap insiden sebagai pengajaran

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih negara, John Beasley menyifatkan insiden jangkitan virus yang menimpa jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang sebagai satu pengajaran untuk lebih berwaspada pada masa yang akan datang. 

Kondisi badan pelumba yang digelar 'The Pocketrocketman' tidak berada pada tahap terbaik sebelum turun beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di Kejohanan Trek Dunia, Apeldoorn, Belanda pada minggu ini, selepas mengalami demam, batuk, sakit otot dan pedih tekak.

Azizulhasni difahamkan cuba untuk pulih sepenuhnya menjelang kejohanan termasuk mengambil vitamin, rehat yang cukup dan sebagainya, namun tidak mampu mencapai kembali tahap kecergasan yang diperlukan.

"Saya tidak pasti sama ada dia terkena jangkitan semasa di lapangan terbang, di dalam pesawat, cuaca sejuk atau di tempat lain. Namun, punca sebenar sudah tidak penting, cuma saya berharap kami dapat belajar untuk menguruskan diri lebih baik selepas ini.

"Saya berharap kami akan dapat memulihkan prestasinya kembali ke landasan tepat, secepat mungkin sebaik tiba di Malaysia dengan cuaca yang panas bagi persiapan akhir ke Sukan Komanwel pada awal bulan depan. 

"Walaupun tempoh agak singkat, saya yakin ia mencukupi untuk mengembalikan prestasi kompetitifnya seperti di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) bulan lalu," katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu berkenaan melakarkan rekod baharu Asia ketika aksi kelayakan pecut individu di ACC. 

Bagaimanapun, hasrat Azizulhasni untuk mempertahankan gelaran juara keirin dunia tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan repechage, manakala dalam saingan pecut individu, dia turut tersingkir seawal pusingan pertama apabila bertemu pelumba paling pantas di aksi kelayakan, Jack Carlin dari Great Britain.

"Kempen di Belanda berakhir dengan kekecewaan namun ia sudah berlaku dan berlalu. Kami tidak boleh mengubahnya namun boleh mengawal masa depan. Itu yang akan kami beri perhatian," kata Azizulhasni.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X