Sabtu, 17 March 2018 | 9:27pm
PENERJUN muda negara, Dhabitah gagal ke final pada acara 3 meter (m) papan anjal wanita. - FOTO FAIL

Dhabitah gagal ke final

KUALA LUMPUR: Penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri gagal mara ke aksi final selepas terkandas pada peringkat separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita dalam Siri Terjun Dunia FINA kedua di Fuji, Jepun, hari ini.

Nur Dhabitah yang beraksi dalam separuh akhir A hanya menamatkan saingan di tangga keempat daripada enam penerjun dengan kutipan 288.75 mata.

Atlet berusia 19 tahun ini bagaikan tidak menjadi apabila meraih mata paling rendah seawal terjunan pertama dengan catatan 49.50 mata.

Bagaimanapun Nur Dhabitah kembali bangkit menerusi terjunan kedua apabila mencatatkan 69.75 mata sebelum mengutip 57.00 menerusi terjunan ketiga.

Selepas agak konsisten dalam terjunan kedua dan ketiga, penerjun ini terpaksa berpuas hati dengan 48.00 mata menerusi terjunan keempat, sekali gus meletakkannya kembali di tangga keenam.

Pada terjunan terakhir, Nur Dhabitah mencatatkan 64.50 mata namun ia sudah terlambat apabila jumlah keseluruhan dalam lima terjunan hanya meletakkannya di tangga keempat.

Pingat emas dan perak acara ini dibolot penerjun China, masing-masing milik Shi Tingmao yang mencatatkan 388.05 mata dan Wang Han (359.30). Gangsa diraih Kristina Ilinykh dari Russia yang mengutip 326.15 mata.

Untuk rekod, dalam siri kedua di Fuji sejak Khamis lalu, Malaysia memenangi satu pingat gangsa menerusi gandingan Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita dengan kutipan 310.32 mata.

Berdasarkan kalendar Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), terdapat empat siri Terjun Dunia iaitu di Beijing, China (9 hingga 11 Mac), Fuji, Jepun (15 hingga 17 Mac), Montreal, Kanada (27 hingga 29 April) dan Kazan, Russia (4 hingga 6 Mei).

Berita Harian X