Khamis, 22 March 2018 | 3:31pm
ATLET gimnastik berirama dari kiri, Izzah Amzan, Koi Sie Yan, Jurulatih gimnastik berirama, Lidia Legotina dan Amy Kwan Dict Weng pada sidang media persediaan atlet poduim ke Sukan Komanwel di Lobi Institut Sukan Negara (ISN). - Foto Owee Ah Chun

Amy jadi pertaruhan terbaik skuad gimrama

KUALA LUMPUR: Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng berharap pengalaman empat tahun lalu membantunya untuk tampil dengan aksi lebih kemas dan mantap apabila turun beraksi pada Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Bakal beraksi dalam semua acara iaitu gelung, reben, bola, belantan dan berpasukan, skuad gimrama negara kali ini dilihat antara yang terkuat berdasarkan prestasi semasa ketika Kejohanan Gimrama Antarabangsa Piala Aphrodite kali keempat di Greece, minggu lalu.  

Amy yang menyumbang pingat gangsa ketika di Glasgow 2014 dan dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu berkata, dia hadir ke Gold Coast dengan satu sasaran iaitu merealisasikan impian kem gimrama membawa pulang satu emas dalam acara berpasukan selain memperbaiki pencapaian peribadi empat tahun lalu.  

"Saya kembali kali ini dengan lebih kuat dan berharap dapat memperbaiki pencapaian empat tahun lalu.   

"Malah, saya harap dapat beraksi dengan sempurna di atas permaidani nanti dengan konsisten dalam semua acara. Apa yang penting buat yang terbaik dan keputusan akan datang kemudian," katanya yang bebas daripada sebarang kecederaan.  

Menjanjikan aksi terbaik, Amy yang menggemari semua apparatus berkata, tiada rutin baharu akan digunakan di Gold Coast nanti, namun ada sedikit pembaharuan berbanding aksi yang diperagakan ketika KL2017.   

Mengulas mengenai lawan yang mampu memberikan saingan berdasarkan prestasi pasukan lawan ketika di Greece, Amy melihat gimnas Kanada, Cyprus dan Wales pencabar utama.   

Skuad gimrama meletakkan sasaran satu emas dalam acara berpasukan akan diwakili Amy, Koi Sei Yan dan Izzah Amzan dengan mereka akan beraksi dalam kesemua acara iaitu berpasukan dan individu - bola, gelung, belantan dan reben.  

Empat tahun lalu, skuad gimrama membawa pulang satu perak dan dua gangsa.   

Wong Poh San menjadi atlet paling menyerlah dengan menghadiahkan satu perak dalam acara riben dan dua gangsa dalam acara berpasukan serta gelung. 

Berita Harian X