Jumaat, 23 March 2018 | 10:05pm
PENGENDALI skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah. - FOTO FAIL

Dhaarma pertaruh skuad Piala Asia

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah mempertaruhkan sebahagian besar pemain yang beraksi di Piala Asia tahun lalu apabila hanya melakukan dua pertukaran untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast yang menyingkap tirainya 4 April ini.

Dua pemain yang diserap masuk kali ini adalah tonggak tengah berpengalaman Fazilla Sylvester Silin serta penyerang muda Nur Amirah Shakirah Zulkifli.

Kemasukan kedua-dua pemain ini diyakini mampu menambah sengat di bahagian serangan negara yang diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Afrika Selatan, England dan Wales.

Bagi Dhaarma Raj, 18 pemain yang dipilih kali ini adalah yang terbaik dimilikinya selepas mempunyai tempoh yang suntuk untuk mempersiapkan pasukan kerana saingan Liga Hoki Wanita Malaysia baharu saja melabuhkan tirainya awal bulan ini.

"Ini merupakan skuad 18 pemain yang saya pilih dan saya rasakan terbaik kerana kami tidak mempunyai masa yang panjang untuk melakukan sesi pemilihan selepas tamatnya TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) baru-baru ini.

"Kami kehilangan khidmat Fazilla ketika Piala Asia tahun lalu kerana dia terikat dengan latihan bomba sebelum ini dan kini dia kembali bersama kami untuk membantu memantapkan lagi pasukan di Gold Coast.

"Saya juga menyerap masuk Amirah yang bebas daripada masalah kesihatan iaitu alahan yang dialami sebelum ini dan dia telah menunjukkan prestasi yang baik ketika beraksi di siri perlawanan persahabatan menentang skuad bawah-21 Jepun dengan meledak dua gol," ujar Dhaarma Raj yang ditemui ketika sesi latihan skuad negara hari ini.

Malaysia akan memulakan aksi pertama menentang India pada 6 April ini sebelum turun berdepan Afrika Selatan keesokan harinya.

 

Senarai 18 pemain skuad hoki wanita negara

Penjaga gol: Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz

Pertahanan: Siti  Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Siti Rahmah Othman, Nuraini Abd Rashid

Tengah: Fazilla  Sylvester Silin, Surizan Awang Noh, Norbaini Hashim, Nur Syafiqah Mohd Zain, Nuraslinda Said

Penyerang: Hanis Nadia Onn, Norazlin Sumantri, Nurul Nabihah Mansur, Nur Amirah Shakirah Zulkifli, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Fatin Shafika Md Shukri

Berita Harian X