Ahad, 25 March 2018 | 8:13pm
NURAINI (kanan) harap dapat baiki rekod menjelang Sukan Komanwel. -Foto fail

Nuraini tekad buktikan bukan pakar flick 'kelas kedua'

KUALA LUMPUR: Pertahanan hoki wanita negara, Nuraini Rashid tidak mahu lagi dianggap sebagai pakar flick 'kelas kedua' dunia sekali gus berharap mampu memperbaiki rekod jaringan menerusi set piece itu menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, bermula 4 April ini.

Berbekalkan 14 gol daripada 22 perlawanan kompetitif membabitkan empat kejohanan utama sepanjang tahun lalu, ia pasti angka membanggakan buat pakar flick nombor satu negara itu.

Tetapi rata-ratanya gol itu hadir ketika menentang pasukan yang mempunyai ranking lebih rendah dari Malaysia dengan 11 daripada 14 gol itu hadir sewaktu Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Kuala Lumpur (Januari 2017) dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malah, dia gagal mencetak sebarang gol dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium (Julai lalu) apabila menentang pasukan gergasi dunia seperti Australia, Sepanyol, Belgium dan New Zealand.

Justeru, pemain kelahiran Pahang berusia 29 tahun itu berharap dapat mengatasi kelemahan terbabit ketika Malaysia melayani empat aksi Kumpulan A bertemu England, India, Afrika Selatan dan Wales di Pusat Hoki Gold Coast nanti.

"Impian saya kali ini untuk menjaringkan gol dalam penampilan ketiga saya di Sukan Komanwel sebab sebelum ini saya tidak pernah berjaya melakukannya selain satu gol menerusi penentuan penalti pada edisi lalu di Glasgow.

"Impian besar saya itu kerana saya belum pernah menjaringkan gol di pentas tertinggi, dan mudah-mudahan ia mampu dicapai kali ini," katanya.

Dalam kalangan lima pasukan Kumpulan A, Malaysia memiliki ranking kedua terendah - 22 dunia - dengan England (2), India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26).

Bagaimanapun, Malaysian Tigress tetap memiliki peluang untuk melangkah ke separuh akhir sekiranya mengambil kira kemampuan mereka hampir mengikat India pada aksi Piala Asia tahun lalu sebelum melepaskan dua gol pada enam minit terakhir ketika tewas 2-0.

Sebagai rekod, pada temasya di Glasgow 2014, skuad negara yang ketika itu di bawah bimbingan Nasihin Nubli terkandas di peringkat kumpulan.

Berita Harian X