Jumaat, 30 March 2018 | 10:25pm
AZROY diharap mampu bawa pulang pingat emas buat negara. -Foto fail
AZROY diharap mampu bawa pulang pingat emas buat negara. -Foto fail

Azroy pertaruhan utama di Gold Coast

KUALA LUMPUR: Sukan angkat berat sekali lagi menjadi harapan untuk menyumbang kilauan pingat buat kontinjen negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast yang akan disingkap tirainya, Rabu ini.

Pada temasya sama empat tahun lalu di Glasgow, Scotland, mereka berjaya menyumbang satu daripada enam emas keseluruhan kontinjen negara yang diraih menerusi Hafifi Mansor dalam kategori 69 kilogram (kg).

Selain satu emas, angkat berat turut menyumbang satu perak menerusi Zuhelmi Md Pisol dalam kategori 56kg.

Namun, kali ini skuad negara ke Gold Coast tanpa Hafifi yang digantung Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas disahkan gagal ujian doping kerana menggunakan bahan terlarang jenis anabolic steroid oxymetholone, hujung tahun lalu.

Sasaran satu emas dan satu lagi pingat sama ada perak atau gangsa yang diletakkan di Gold Coast menyaksikan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad yang bersaing dalam kategori 56kg menjadi sandaran utama untuk mengulangi pencapaian cemerlang Hafifi.

Pengurus skuad kebangsaan, Amirul Hamizan Ibrahim menjelaskan, seorang lagi atlet yang disasarkan untuk menjelmakan pingat adalah Aznil Bidin dalam kategori 62kg.

Bagaimanapun, Amirul berkata, Aznil hanya disasarkan untuk memburu sekurang-kurangnya perak atau gangsa memandangkan saingan yang dilihat sukar dalam kategori itu.

"Kita tahu negara lain bakal memberi tentangan yang sengit terutama atlet dari India, Nauru, Tonga dan Sri Lanka. Malah, cabaran daripada atlet tuan rumah, Australia juga sukar untuk dijangka.

"Apapun, saya harap semua atlet dapat memberikan komitmen dan fokus terbaik bagi menghadapi temasya ini dan menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

"Memang bukan tugas mudah, tapi ia juga tidak mustahil dan saya percaya semua atlet sudah bersedia sepenuhnya," katanya.

Seramai 10 atlet angkat berat akan menggalas cabaran buat negara di Gold Coast termasuk enam lelaki dan empat wanita.

INFO

Sukan: Angkat Berat

Venue: Gold Coast Sports & Leisure Centre, Carrara

Tarikh: 5-9 April

Sasaran: 1 emas, 1 perak atau gangsa

Pencapaian di Glasgow 2014: 1 emas, 1 perak

Senarai atlet:

Lelaki 

1. Fazrul Azrie Mohdad (85kg)

2. Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (56kg)

3. Aznil Bidin (62kg)

4. Norfarhan Ideris (+105kg)

5. Abd. Mubin Rahim (77kg)

6. Erry Hidayat (69kg)

Wanita

1. Sharifah Inani Najwa Syed Anuar (53kg)

2. Marlyne Marceeta (58kg)

3. Jabriella Teo Samuel (75kg)

4.. Siti Aisyah Md. Rosli (90kg)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X