Jumaat, 6 April 2018 | 4:35pm
PEMAIN India Rani (kiri) menewaskan penjaga gol Malaysia, Farah Yahya. FOTO/AFP

Skuad hoki wanita juga 'lemas'

GOLD COAST: Skuad hoki wanita negara mempamerkan aksi bertenaga, namun kesilapan pada saat penting menyaksikan mereka terpaksa akur tewas 1-4 kepada India dalam aksi Kumpulan A Sukan Komanwel di Stadium Hoki Gold Coast, hari ini.

Gurjit Kaur menjaringkan dua gol untuk India yang juga juara Asia pada minit keenam dan ke-39 manakala dua lagi gol dihasilkan kapten, Rani Kaur (28) dan Lalremsiami (59).

Jaringan tunggal Malaysia disumbangkan Nuraini Rashid hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-38.

Skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah mempamerkan aksi memberangsangkan di semua bahagian dan mereka sepatutnya menamatkan perlawanan dengan keputusan lebih baik selepas gol penyamaan Nuraini.

Namun, kecederaan yang dialami Syafiqah Zain dan Norfaiezah Saiuti pada suku terakhir mempengaruhi prestasi keseluruhan pasukan.

Nuraini berkata, Malaysia sudah mempamerkan aksi terbaik dan mengikut segala perancangan daripada jurulatih.

"Kami fikir kami boleh mendapatkan keputusan lebih baik berdasarkan persembahan hari ini.

Semua pemain beraksi sebagai satu pasukan dan mengikut perancangan, permainan kami teratur.

"Apa yang membezakan, kami melakukan beberapa kesilapan dan India menggunakan kesempatan itu," kata Nuraini.

Selain itu, Nuraini berharap rakan sepasukannya akan bangkit semula pada perlawanan seterusnya.

"Kami perlu menyusun semula pasukan dan melupakan kekalahan ini. Ini baru perlawanan pertama dan walaupun kami tidak mendapat mata, kami tetap memburu tempat ke separuh akhir," katanya.

Berita Harian X