Selasa, 10 April 2018 | 10:12am
RATU trek negara, Fatehah Mustapa (kanan) bersaing dengan pelumba New Zealand, Natasha Hansen pada suku akhir acara pecut di Sukan Komanwel Gold Coast. - Foto AFP

Fatehah tolak dakwaan prestasi merosot

SEPANG: Ratu trek negara, Fatehah Mustapa menolak andaian dia sudah melewati prestasi kemuncaknya apabila pulang dengan tangan kosong dari Sukan Komanwel Gold Coast, Australia.

Fatehah disingkirkan dari aksi final keirin kerana didakwa melanggar peraturan manakala dalam acara pecut, dia terkandas di suku akhir.

"Bagi saya, pretasi masih OK berdasarkan masa yang dicatatkan di Gold Coast. Contohnya dalam kelayakan pecut, bermula dari Sukan SEA diikuti Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) disusuli Sukan Komanwel, catatan semakin baik dan hampir memecahkan rekod kebangsaan.

  

"Saya sudah berusaha keras, menukar cara latihan namun tuah masih belum memihak saya. Saya masih tidak berpuas hati apabila disingkirkan dari aksi final dan terpaksa beraksi bagi kedudukan 7-12.

"Saya yakin tidak melakukan sebarang kesalahan termasuk dakwaan memasuki laluan pelumba Kanada. Ini sesuatu yang tidak adil kerana saya terus disingkirkan tanpa amaran. Saya amat yakin jika di final, saya mampu meraih pingat," katanya.

Fatehah berharap pengalamannya di Gold Coast dapat membantu dirinya menghadapi Sukan Asia pada Ogos nanti.

Berita Harian X