Khamis, 12 April 2018 | 10:59pm
CHEONG JUN HOONG
CHEONG JUN HOONG

Jun Hoong, Pandelela gagal teruskan rentak cemerlang

BIARPUN menurunkan dua atlet bertaraf dunia, Malaysia tetap gagal menyinar dalam saingan 10m platform hari ini apabila Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong pulang hampa dari Optus Aquatic Centre.

Namun, berita baiknya adalah atlet negara dilihat lebih menikmati terjunan di bawah bimbingan ketua jurulatih sementara Zhang Yukun dan pembantu Christian Brooker.

Zhang Yukun mengambil alih tugas daripada Yang Zhuliang apabila kontraknya tidak disambung akhir tahun lalu, manakala Brooker dilantik sejak Januari lalu.

Pandelela yang juga bekas pemenang emas Sukan Komanwel paling hampir untuk memenangi pingat, tetapi terjunan terakhir yang buruk menyaksikan dia sekadar berpuas hati di kedudukan keempat dengan 340.20 mata, di depan Jun Hoong (322.85).

Bintang muda negara, Kimberley Bong pula menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dengan 294.20 mata daripada lima terjunan.

Sebaliknya, acara itu dimenangi penerjun Australia, Melissa Wu dengan 360.40; diikuti atlet Kanada, Meaghan Benfeito (359.75) dan Lois Toulson dari England (344.20).

"Saya kini lebih mencintai sukan terjun sejak kaedah berteraskan sains sukan lebih kerap diterapkan jurulatih baru. Jika dulu, saya akan menangis (sekiranya gagal) tetapi kini saya sudah boleh menerimanya dan melihat ke depan," kata Pandelela.

"Jurulatih banyak membantu memastikan emosi kami sentiasa berada dalam keadaan baik. Sudah pasti saya sedih apabila gagal terutama selepas memenangi emas (di Delhi 2010) dan perak (di Glasgow 2014) tetapi ia perkara normal... yang penting jangan pernah berputus asa."

Jun Hoong yang memenangi gelaran dunia 10m tahun lalu, berkata: "Ia antara persembahan terbaik saya sejak kejohanan dunia, jadi saya amat gembira walaupun sepatutnya saya boleh meraih keputusan cemerlang sekiranya saya melakukan terjunan pertama dan ketiga dengan lebih baik.

"Saya masih dibelenggu kecederaan tetapi semuanya terkawal. Saya selalunya tidak akan terlalu memikirkan kecederaan sewaktu beraksi," kata Jun Hoong.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X