Jumaat, 13 April 2018 | 7:31pm
JURULATIH, Stephen Van Huizen puas hati prestasi anak buahnnya pada Sukan Komanwel kali ini selepas menamatkan saingan di tempat kelima. - Foto Owee Ah Chun

Van Huizen gembira persembahan pasukan

 

GOLD COAST: Jurulatih Stephen Van Huizen yakin pasukan hoki kebangsaan kini di landasan terbaik bagi saingan Sukan Asia di Indonesia tahun ini selepas menampilkan persembahan meyakinkan pada Sukan Komanwel.

Malaysia berkedudukan keenam antara pasukan yang bertanding namun menamatkan saingan di tempat kelima selepas kemenangan 2-1 mengatasi Scotland dalam penentuan di Stadium Hoki Gold Coast, hari ini.

Scotland mendahului menerusi Alan Forsyth pada minit ke-11 sebelum jaringan Shahril Saabah (m-21) dan Amirol Arshad (m-39) mengesahkan kemenangan.

Untuk rekod, Malaysia beraksi tanpa lima tonggak termasuk penjaga gol S Kumar, pertahanan Izad Hakimi Jamaluddin dan Faiz Helmi Jali, pemain tengah Marhan Jalil dan penyerang Nik Aiman Nik Rozemi.

Kumar menjalani penggantungan sementara kerana kesalahan doping manakala Faiz Helmi memilih untuk memberi tumpuan pada pelajaran. Pemain lain sedang pulih daripada kecederaan.

"Pasukan saya bangkit dengan baik selepas kekalahan 7-0 pada saingan pembukaan bertemu England dan saya berpuas hati dengan kedudukan kelima itu.

"Sudah tentu, ada bahagian yang perlu diperbaiki. Kami tidak melakukan latihan fizikal sehingga kejohanan ini kerana saya ada masa terhad bersama mereka kerana komitmen dalam Liga Malaysia dan Piala Sultan Sultan Azlan Shah.

"Kami perlu melihat kembali dan pastikan kami ada program kecergasan yang bagus dalam aspek larian dan kekuatan menjelang Sukan Asia.

"Saya rasa kemahiran pemain sudah ada. Kini kami perlu menjadikan mereka kuat dan cergas," kata Stephen.

Mengenai persembahan pemain yang jarang beraksi, Stephen berkata: "Kejohanan ini memberikan saya pandangan yang bagus terhadap mereka."

"Saya kini ada kumpulan lebih besar dan pasti akan sukar menyenaraikan barisan terakhir untuk Sukan Asia apabila lima pemain utama itu kembali," katanya.

Stephen juga memuji penjaga gol, Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman yang beraksi baik tanpa kehadiran Kumar.

"Mereka melakukan tugas dengan baik tetapi perlu bekerja keras dalam membuat keputusan. Saya percaya pendedahan akan membuat mereka lebih yakin kerana sebelum ini, Kumar adalah penjaga gol nombor 1," katanya.

Malaysian Tigers akan ke Argentina bagi menghadapi enam perlawanan dengan juara Olimpik itu pada Mei dan kemudian ke Australia bagi lima perlawanan pada Jun dan Julai.

Berita Harian X