Isnin, 30 April 2018 | 8:09pm
RAYNA Hoh Khai Ling. - Foto NSTP

Rayna pula layak ke Argentina

KUALA LUMPUR: Gimnas remaja negara, Rayna Hoh menepati ramalan apabila melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik Remaja di Argentina Oktober depan selepas cemerlang dalam Kejohanan Gimrama Asia di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Selepas tamat empat rutin membabitkan gelung, bola, belantan dan riben, gimnas berusia 15 tahun itu berjaya menduduki tempat ketiga terbaik apabila meraih 53.550 mata seterusnya mara ke final Kejohanan Asia dan layak ke Argentina.

Gimnas Uzbekistan, Ekaterina Fetisova menduduki tempat pertama dengan 57.150 mata diikuti gimnas Jepun, Aino Yamada (53.950).

Hanya tujuh gimnas terbaik dari setiap negara dalam kejohanan ini layak beraksi di Argentina dan lapan gimnas yang mengumpul mata tertinggi dari empat aparatus itu akan mara ke pentas akhir yang berlangsung esok.

Menurut Rayna, kejayaannya layak ke Argentina bagai mimpi menjadi kenyataan kerana sudah memasang impian untuk beraksi di temasya itu sejak berusia 10 tahun.

"Saya memasang impian beraksi di Sukan Olimpik Remaja dan mahu mewakili negara apabila berusia 15 tahun. Sekarang perkara itu menjadi kenyataan dan selepas ini saya perlu berusaha keras lagi untuk terus berjaya.

"Bagaimanapun, saya tidak meletakkan sebarang sasaran di Argentina kerana masih ada lagi dua kejohanan iaitu SUKMA (Sukan Malaysia) dan SportsExcel yang perlu diberi perhatian," katanya yang akan mewakili Kuala Lumpur di SUKMA Perak, September depan.

Mengulas mengenai sasarannya di pentas akhir Kejohanan Asia pula, Rayna berkata dia tidak mahu terlalu memikirkan pingat, sebaliknya mahu melakukan persembahan lebih baik berbanding ketika aksi kelayakan terutama dalam acara belantan.

"Saya tidak mahu meletakkan sasaran pingat. Semua itu bagi saya tekanan. Saya mahu melakukan yang terbaik dan memperbaiki kesilapan ketika aksi kelayakan," katanya yang meraih mata tertinggi dalam aparatus gelung.

Semalam, skuad hoki negara melayakkan diri ke Argentina selepas menewaskan Korea Selatan pada aksi separuh akhir kelayakan Sukan Olimpik Remaja di Bangkok. 

Berita Harian X