Selasa, 1 Mei 2018 | 6:45pm
RAYNA Khai Ling Hoh ketika beraksi dalam katagori Junior pada 16hn Rhythmic Gymnastics Championship yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

Rayna sumbang pingat pertama

KUALA LUMPUR: Biarpun hanya meraih pingat gangsa dalam acara individu keseluruhan, namun ia satu kejayaan cukup membanggakan buat gimnas muda negara, Rayna Hoh di Kejohanan Gimrama Asia di di Axiata Arena.

Ketika langsung tidak meletakkan sasaran untuk pingat kerana sedar cabaran yang dihadapi, Rayna berkata gangsa yang diraihnya adalah sesuatu yang mengembirakan apatah lagi ia dipisahkan dengan perbezaan mata yang sangat kecil iaitu 0.35 mata berbanding gimnas di kedudukan keempat. 

"Ia adalah pingat pertama saya di Kejohanan Asia selepas tiga kali mencuba sejak 2016. 

"Saya tidak menjangkakan kejayaan ini sebab dalam fikiran saya tergambar ia sukar terutama selepas melakukan kesilapan kecil dalam acara gelung dan belantan. 

"Namun saya harap dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan dalam acara aparatus individu esok," kata pelajar tingkatan tiga Sekolah Convent Bukit Nanas itu.

Gimnas dari Uzbekistan, Ekaterina Fetisova masing-masing menenangi pingat emas dan Perak acara individu keseluruhan itu dengan 57.000 mata dan Lola Zakirova 55.650 mata.

Rayna yang sebelum ini sudahpun mengesahkan tempat beraksi di Sukan Olimpik Belia di Argentina Oktober depan meraih mata tertinggi dalam aparatus bola (14.300) diikuti gelung (13.850), belantan dan ribon masing-masing 13.200 mata dengan jumlah keseluruhan 54.550 mata untuk meraih gangsa. 

Keputusan 

Individu Keseluruhan (Remaja)

Emas:  Ekaterina Fetisova (UZB) 57.000 mata

Perak: Lola Zakirova (UZB) 55.650 mata

Gangsa: Rayna Hoh (MAS) 54.550 mata

Senaman Berkumpulan (Remaja)

Tali

Emas: China 14.850

Perak: Kazakhstan 13.100 

Gangsa: Jepun 12.350

Berita Harian X