Selasa, 1 Mei 2018 | 10:07pm
NUR Naieme Zainul Ariffin pada acara belantan di Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) 2016 di Gimnasium 1, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Senior sumbang gangsa senaman berpasukan

KUALA LUMPUR: Koreografi yang diinspirasikan dari Jepun oleh jurulatih gimrama berpasukan, Eriko Akebayashi membawa tuah buat pasukan senior negara apabila meraih pingat gangsa dalam acara senaman berpasukan aparatus gelung di Kejohanan Gimrama Asia di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

Ia adalah pingat gangsa pertama buat negara di pentas Asia dalam acara berpasukan.

Malaysia yang dianggotai oleh Koh Jei Yi, Chan Mei Thung, Nur Naieme Zainul Ariffin, Rachel Cheng, Tee Wei Wen dan Shak Yuki meraih 16.200 mata untuk gangsa tewas kepada pasukan Jepun yang meraih emas 17.750 dan perak milik Kazakhstan 16.750 mata.

Bagi Eriko ia kejayaan yang cukup bermakna dan kejutan buat gimnas negara.

"Kami buat persiapan sejak dari Sukan SEA Kuala Lumpur dan masukkan sedikit elemen baru untuk menghadapi kejohanan ini.

"Saya gembira usaha keras kami selama ini berbaloi dan saya amat berharap kejayaan hari ini dapat membuatkan MSN (Majlis Sukan Negara) mempertimbangkan penyertaan kami ke Kejohanan Dunia di Bandung September ini," katanya.

Sementara itu harapan untuk skuad gimrama negara menambah pingat dalam acara senior individu tidak kesampaian apabila Amy Kwan Dict Weng menamatkan saingan di kedudukan ke-10 manakala Izzah Amzan, ke-13.

Pingat emas acara itu diraih gimnas Kazakhstan Alina Adilkhanova (63.250 mata), Sabina Tashkenbaeva untuk perak (62.750 mata) dan Nurinisso Usmanova dari Uzebkistan pingat gangsa (61.800 mata).

Cabaran gimnas negara akan diteruskan esok dalam acara aparatus individu.

Keputusan 

Senior

Individu keseluruhan 

Emas: Alina Adilkhanova (KAZ) 63.250 mata,

Perak: Sabina Tashkenbaeva (UZB) 62.750 mata

Gangsa: Nurinisso Usmanova (UZB) 61.800 mata.

Senaman Berpasukan Gelung 

Emas: Jepun 17.750 mata

Perak: Kazakhstan 16.750 mata

Gangsa: Malaysia 16.200 mata

Berita Harian X