Rabu, 2 Mei 2018 | 4:25pm
KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pertaruhan berani Dhaarma

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah akhirnya mengotakan janji untuk menyenaraikan beberapa muka baru bagi menghadapi Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan.

Dalam senarai 18 pemain yang dikeluarkan hari ini, Dhaarma membuat keputusan berani dengan menyenaraikan dua pemain bawah 18 tahun yang beraksi pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Remaja di Bangkok minggu lalu, Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad dan Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun.

Meskipun gagal layak ke Sukan Olimpik Remaja di Argentina, Oktober depan apabila meraih tempat ketiga, aksi dua pemain itu nyata berjaya memikat hati Dhaarma.

Selain itu, Dhaarma turut menyenaraikan kembali Nurul Syafiqa Mat Isa dan Nur Zafirah Aziz, yang tidak terpilih ke Sukan Komanwel Gold Coast, dalam senarai 18 pemain ke Korea Selatan.

"Saya berasakan untuk kejohanan ini Syafi dan Asfarina layak untuk mendapat peluang menunjukkan kebolehan mereka.

"Seperti saya tegaskan sebelum ini, saya tidak menggugurkan pemain tapi mahu memberikan peluang kepada pemain muda mendapat pendedahan di peringkat lebih tinggi.

"Saya juga sedar kejohanan bawah 18 tahun dan peringkat senior berbeza tapi saya tetap berasakan mereka layak untuk diberi peluang.

"Dengan memberikan pendedahan sebegini, ia akan mewujudkan satu suasana persaingan sihat dalam kalangan 26 pemain bagi merebut tempat ke Sukan Asia Ogos depan," ujarnya.

Menerusi laporan Sukan NSTP semalam, Dhaarma membayangkan untuk menyenaraikan beberapa muka baru tetapi tidak menyatakan secara terperinci nama yang berjaya memikat hatinya itu.

Trofi Juara-Juara Asia dari 13 hingga 20 Mei ini menyaksikan Malaysia yang berada di ranking ke-22 dunia, akan bersaing dengan pasukan ranking kelapan China, Korea Selatan (9), India (10) dan Jepun (12).

Skuad negara yang akan berlepas ke Donghae pada 8 Mei ini, akan membuka tirai perlawanan bertemu tuan rumah pada 13 Mei.

SENARAI PEMAIN

Penjaga gol: Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz

Pertahanan: Siti Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nuraini Abd Rashid, Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun, Nurul Syafiqa Mat Isa

Tengah: Surizan Awang Noh, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Fatin Shafika Md Shukri 

Penyerang: Hanis Nadia Onn, Nuraslinda Said, Nur Syafiqah Mohd Zain, Nurul Nabihah Mansur, Nur Amirah Shakirah Zulkifli, Nur Zafirah Aziz, Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad

Berita Harian X