Rabu, 2 Mei 2018 | 6:35pm
ALINA Adikhanova (dua dari kiri), Rong Shang dan Amy Kwan Dict Weng (kanan) peraga pingat yang diraih pada Kejohanan Gimrama Senior Asia yang ke 10 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto ROHANIS SHUKRI

Amy sumbang gangsa untuk negara

KUALA LUMPUR: Reben sama yang digunakan Amy Kwan Dict Weng sejak mula temasya Komanwel Gold Coast memberi tuah buat gimnas berpengalaman negara itu apabila menyumbangkan pingat tunggal negara dalam kategori senior di pentas Kejohanan Gimrama Asia di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

Amy yang sebelum ini menyumbangkan emas dalam aparatus reben di Sukan Komanwel itu, menghadiahkan gangsa apabila meraih 13.700 mata.

Aparatus reben itu dikuasai gimnas dari Kazakhstan, Alina Adilkhanova yang mengumpul 16.250 mata untuk emas manakala perak milik Shang Rong dari China 14.450 mata.

Pingat gangsa yang diraih gimnas berusia 23 tahun bagaikan mengubat kekecewaannya selepas gagal melakukan rutin sempurna dalam acara yang sama ketika beraksi dalam acara aparatus keseluruhan semalam. 

Kejayaan meraih gangsa itu juga satu kejutan buat dirinya yang sebelumnya langsung tidak menyangka mampu menyumbangkan pingat buat negara di kejohanan itu.

"Memang satu yang tidak dijangka. Sebab mata yang saya peroleh hanya 13.700 dan ia agak rendah kerana ada gimnas dari negara lain sebelum itu meraih 16, 15 mata. Jadi saya tidak letakkan harapan.

"Saya kata kepada diri saya hanya mahu melakukan yang terbaik selepas menempuh jadual padat. Sukan SEA, Komanwel dan terbaru Kejohanan Asia. Ditambah pula kecederaan buku lali kiri jadi saya tidak meletakkan harapan tinggi. Namun gangsa yang diperoleh ini mengubati segalanya," kata pelajar Universiti Malaya itu yang diberi rehat selama seminggu selepas ini.

Sementara itu dalam aparatus individu kategori junior, Rayna Hoh muncul atlet paling menyerlah apabila sekali lagi menghadiahkan gangsa buat negara. Rayna cemerlang dalam aparatus belantan dengan catatan mata 14.150.

Emas acara itu dimenangi gimnas dari Kazakhstan, Sabina Bakatova (14.900 mata) manakala perak diraih gimnas Uzbekistan, Ekaterina Fetisova (14.150 mata). 

Skuad gimnas negara menamatkan saingan di Kejohanan Asia kali ini dengan kejayaan meraih empat gangsa. 

Dua gangsa disumbangkan oleh Rayna dalam acara individu keseluruhan dan aparatus individu belantan semalam manakala dua gangsa lagi disumbangkan oleh Amy dan senaman berpasukan aparatus gelung.

Keputusan 

Senior

Bola

Emas: Alina Adilkhanova (Kaz) 16.800 mata

Perak: Kin Chaewoon (Kor) 15.500 mata

Gangsa: Nurinisso Usmanova (Uzb) 15.300 mata

Belantan

Emas: Sabina Tashkenbaeva (Uzb) 16.250 mata

Perak: Nurinisso Usmanova (Uzb) 16.200 mata

Gangsa: Alina Adilkhanova (Kaz) 15.700 mata

Gelung

Emas: Alina Adilkhanova (Kaz) 16.800 mata

Perak: Kim Chaewoon (Kor) 15.500 mata

Gangsa: Nurinisso Usmanova (Uzb) 15.300 mata

Ribon

Emas: Alina Adilkhanova (Kaz) 16.250 mata

Perak: Shang Rong (Chn) 14.450 mata

Gangsa: Amy Kwan Dict Weng (Mas) 13.700 mata

Junior

Gelung

Emas: Roza Abitova (Kaz) 14.800 mata

Perak: Lola Zakirova (Uzb) 14.450 mata

Gangsa: Wang Zilu (Chn) 14.250 mata

Bola

Emas: Roza Abitova (Kaz) 15.500 mata

Perak: Naho Maeda (Jpn) 14.400 mata

Gangsa: Sabina Bakatova (Kaz) 14.150 mata

Belantan

Emas: Sabina Bakatova (Kaz) 14.900 mata

Perak: Ekaterina Fetisova (Uzb) 14.700 mata

Gangsa: Rayna Hoh (Mas) 14.150 mata

Ribon

Emas: Ekaterina Fetisova (Uzb) 14.850 mata

Perak: Lola Zakirova (Uzb) 13.750 mata

Gangsa: Aibota Yertaikyzy (Kaz) 12.600 mata

Berita Harian X