Ahad, 6 Mei 2018 | 12:51pm
PANDELELA kempunan tambah pingat dalam final acara 10 meter platform wanita, awal pagi tadi. - Foto fail

Pandelela kempunan tambah pingat

KUALA LUMPUR: Hasrat Pandelela Rinong untuk menambah pingat pada pusingan akhir Siri Terjun Dunia FINA di Kazan, Russia tidak kesampaian apabila ratu terjun negara itu menamatkan saingan di kedudukan terakhir dalam final acara 10 meter platform wanita, awal pagi tadi.

Pandelela sekadar mengumpul 318.65 mata selepas lima terjunan untuk menduduki tempat keenam pada saingan yang berlangsung di Kazan Aquatics Palace.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Ren Qian dari China meneruskan dominasi negara Tembok Besar itu apabila memenangi acara berkenaan selepas mengutip 389.10 mata.

Perak dan gangsa masing-masing milik penerjun Korea Utara, Kim Mi-rae (362.35 mata) dan Melissa Wu dari Australia (351.80 mata).

Pandelela, 25, sebelum ini berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter seirama bergandingan bersama Cheong Jun Hoong.

Berita Harian X