Rabu, 23 Mei 2018 | 5:21pm
PRESIDEN PSS, Datuk Markiman Kobiran (kiri) tetap akan mencabar kedudukan Datuk Seri Ahmad Ismail, selaku presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PRESIDEN PSS, Datuk Markiman Kobiran (kiri) tetap akan mencabar kedudukan Datuk Seri Ahmad Ismail, selaku presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Markiman tetap mahu rebut jawatan Presiden PSM

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran tetap akan mencabar kedudukan Datuk Seri Ahmad Ismail, selaku presiden pada mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pemilihan pucuk pimpinan baharu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), akhir bulan depan.

Markiman berkata beliau mengambil keputusan mencabar Ahmad kerana mahu melihat perubahan dan transformasi sekali gus memberikan harapan baharu kepada PSM dan seluruh peminat sukan sepak takraw tanah air.

Tegas Markiman, biarpun Ahmad sudah lama memimpin PSM hasilnya bukan hanya boleh dianggap kurang memuaskan, malah didapati gagal meletakkan sukan dan pasukan sepak takraw Malaysia di tahap sepatutnya.

"Saya akan berusaha untuk mencabar beliau (Ahmad) bagi memberikan harapan baharu kepada PSM. Kita juga boleh lihat selami ini dari segi pretasi dan keputusan perlawanan akhir skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa tidak begitu baik. Tiada perancangan masa depan dan usaha mencungkil bakat baharu langsung tidak ada.

"Malah, hampir tiada langsung peruntukan disalurkan PSM kepada persatuan daerah atau negeri untuk membantu membangun dan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi tidak seperti Thailand, Vietnam atau Kemboja. 

"Kalau ada pun negeri kena buat. Kita mana ada duit kerana tidak mendapat sokongan kerajaan negeri hinggakan terpaksa menggunakan sekolah untuk menganjurkan program mencari bakat sehingga boleh diketengahkan ke Sukan Malaysia (SUKMA) dan seterusnya diserapkan ke skuad kebangsaan oleh PSM.

"Jadi mana 'pergi' (hilang) peruntukan disalurkan oleh kerajaan kepada PSM selama ini?" katanya.

Markiman juga berharap kepemimpinan baharu PSM dapat melakukan sesuatu untuk mengembalikan semula peranan badan induk berkenaan untuk melahirkan jaguh sepak takraw bertaraf dunia, bukannya sibuk mengejar populariti atau jawatan dalam Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) atau Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

"Saya yakin kalau kita mempunyai kualiti pemain yang baik dan menunjukkan kecemerlangan di peringkat antarabangsa, maka secara tidak langsung kepemimpinan PSM akan dilantik memegang jawatan dalam ASTAF atau ISTAF nanti," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM Datuk Mohd Radzuan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan PSM akan mengadakan AGM bagi memilih kepemimpinan baharu badan induk sukan sepak takraw berkenaan, pada akhir ini.

Bagaimanapun, Mohd Radzuan berkata tarikh dan lokasi sebenar AGM akan diumumkan sendiri oleh Ahmad yang dijangka mempertahankan jawatannya selaku Presiden PSM sekali lagi.  

Berikutan itu, Mohd Radzuan, mengesahkan pihaknya akan menghantar surat jemputan kepada semua ahli gabungan bagi meminta mereka menghantar wakil ke AGM PSM nanti.

Sebelum ini, media melaporkan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) membenarkan PSM menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk sukan sepak takraw sehingga 30 Jun ini.

AGM kali ini dijangka menjadi tumpuan kerana turut membabitkan pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PSM selepas tempoh mereka selama tiga tahun berakhir pada September 2017.

PSM yang diterajui Ahmad sejak 2002 didesak supaya mempercepatkan tarikh AGM bagi memilih pucuk pimpinan baharu susulan pelbagai masalah melanda sukan tradisi itu sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, kali terakhir PSM mengadakan AGM ialah pada 31 Disember 2016 dan boleh ditangguh sehingga 18 bulan selepas kali terakhir diadakan.

Berita Harian X