Sabtu, 2 Jun 2018 | 6:09pm
Setiausaha Agung PSM, Datuk Mohd Radzuan Abdullah. - Foto fail NSTP/Mohd Yusni Ariffin

8 Jun jadi tarikh akhir pencalonan jawatan tertinggi PSM

KUALA LUMPUR: Semua individu yang berminat untuk bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada 24 Jun ini boleh menghantar borang pencalonan selewat-lewatnya, Jumaat depan.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, mengesahkan pihaknya sudah menghantar notis AGM dan borang pencalonan untuk merebut pelbagai jawatan tertinggi termasuk Presiden, Timbalan dan tiga Naib Presiden kepada semua ahli gabungan, minggu lalu.

Bagaimanapun, Mohd Radzuan berkata, sehingga kini belum ada individu termasuk Datuk Markiman Kobiran yang dikatakan berminat mencabar Datuk Seri Ahmad Ismail selaku Presiden PSM, menghantar borang pencalonannya kepada ibu pejabat PSM.

"Setakat ini saya melihat kemungkinan besar berlaku saingan dua penjuru bagi merebut jawatan Presiden PSM iaitu antara Markiman dan Ahmad, manakala jawatan lain belum pasti," katanya ketika dihubungi dan diminta mengulas mengenai perkembangan terkini isu AGM PSM yang dijangka diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, pada 24 Jun depan.

Sebelum ini, media melaporkan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) membenarkan PSM menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk sukan sepak takraw itu sehingga 30 Jun ini.

AGM kali ini dijangka menjadi tumpuan kerana turut membabitkan pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PSM selepas tempoh mereka selama tiga tahun berakhir pada September 2017.

PSM yang diterajui Ahmad sejak 2002 didesak supaya mempercepatkan tarikh AGM bagi memilih pucuk pimpinan baru susulan pelbagai masalah yang melanda sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, kali terakhir PSM mengadakan AGM ialah pada 31 Disember 2016 dan boleh ditangguh sehingga 18 bulan selepas kali terakhir diadakan.

Berita Harian X