Isnin, 4 Jun 2018 | 6:16pm
SEORANG pelumba trek berpengalaman dijangka digugurkan dari senarai ke Sukan Asia Jakarta-Palembang. - Foto Iqmal Haqim Rosman
SEORANG pelumba trek berpengalaman dijangka digugurkan dari senarai ke Sukan Asia Jakarta-Palembang. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Sukan Asia: Pelumba trek berpengalaman dijangka digugur

KUALA LUMPUR: Seorang pelumba trek yang berpengalaman luas dan berupakan 'nama besar' dalam sukan berbasikal dijangka digugurkan dari senarai ke Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Menurut sumber, keputusan itu adalah berdasarkan perbincangan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Majlis Sukan Negara (MSN), jurulatih dan beberapa pihak berkepentingan yang lain.

"Dia adalah pelumba yang berpengalaman luas dan kegagalannya untuk menghasilkan persembahan yang memuaskan termasuk di Sukan Komanwel tempoh hari menyebabkan namanya tersisih.

"Dia adalah antara pelumba negara dalam acara pecut. Malah jurulatihnya turut mahu mengetengahkan muka baru di Sukan Asia kali ini," katanya.

Ketika ini barisan pelumba pecut negara diketuai Azizulhasni Awang sedang menjalani latihan bersama ketua jurulatih negara, John Beasley di Melbourne sebelum disertai barisan pelumba endurance baru-baru ini.

Ratu trek, Fatehah Mustapa pula dilaporkan menjalani latihan dalam negara susulan kecederaan pergelangan tangan.

PKBM dijadual hadir ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan ke Sukan Asia esok bagi mengemukakan senarai akhir barisan pelumba yang bakal menggalas cabaran negara.

"Selain itu, terdapat nama besar dalam acara lebuh raya yang terpaksa digugurkan selepas mengambil kira laluan perlumbaan yang berakhir di zon pendakian. Hanya pelumba pakar pendaki disenaraikan kali ini," katanya.

PKBM dijangka menyenaraikan 18 pelumba selepas mengadakan mesyuarat bersama semua pihak yang berkepentingan beberapa hari lalu.

Berita Harian X