Selasa, 5 Jun 2018 | 6:16pm
Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley (kiri) membuat keputusan tidak menyenaraikan Fatehah Mustapa pada Sukan Asia di Indonesia. - Foto Eizairi Shamsudin

Beasley 'buang' Fatehah

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley membuat keputusan mengejutkan apabila tidak menyenaraikan ratu trek negara, Fatehah Mustapa pada Sukan Asia di Indonesia pada Ogos depan.

Pengurus skuad berbasikal negara ke Sukan Asia, Firdaus Arshad berkata, Beasley baru memaklumkan senarai terkini pelumba negara ke temasya itu semalam.

"John memberi alasan prestasi semasa di sebalik keputusannya tidak menyenaraikan Fatehah," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ke Sukan Asia 2018 Indonesia di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Ketiadaan Fatehah pada temasya kali ini mengejutkan banyak pihak memandangkan pelumba yang berasal dari Terengganu itu muncul pelumba basikal wanita pertama negara memenangi pingat perak pada temasya lalu di Incheon dalam acara keirin.

Fatehah yang sebelum ini mewakili negara pada Sukan Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014 adalah antara pelumba trek senior dan disenaraikan dalam Program Podium.

Buat masa kini, pelumba berumur 29 tahun itu tidak menjalani latihan bersama skuad berbasikal trek di bawah kendalian Beasley di Melbourne dan memilih untuk berlatih di tanah air bersama Junaidi Nasir kerana mahu bersama ayahnya yang mengalami strok, baru-baru ini.

Mengenai sasaran skuad berbasikal, Firdaus berkata Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) meletakkan sasaran satu emas yang disandarkan kepada bahu pelumba trek, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom.

Secara keseluruhannya, 11 pelumba basikal trek negara berjaya melayakkan diri dalam kategori A, sementara tujuh pelumba lagi akan dihantar di bawah kategori B.

Sementara itu, Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sudah bertanyakan beberapa kali kepada wakil persatuan mengenai kedudukan Fatehah dalam mesyuarat pemilihan hari ini

"Bila kita mengadakan proses pemilihan, kita bergantung kepada senarai yang dikemukakan persatuan sukan kebangsaan (NSA). Kita ada buat perbincangan mengenai kedudukan Fatehah bahawa kalau dibandingkan prestasi dengan atlet lain, mereka katakan atlet lain lebih layak beraksi," katanya.

Info 

Senarai nama atlet berbasikal ke Sukan Asia:

Kategori A: Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Khairil Nizam Rasol, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Irwandie Lakasek, Muhamad Afiq Huznie Othman, Muhaman Nur Aiman Ahmad Zariff, Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee, Farina Shawati Mohd Adnan, Anis Amira Rosidi, Ju Pha Som Net

Kategori B: Muhammad Nur Aiman Rosli, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Marzuki, Muhammad Zawawi Azman, Nok Mohd Azwan Zulkifli 

Berita Harian X