Selasa, 5 Jun 2018 | 6:31pm
FATEHAH Mustapa kini berlatih di dalam negara sejak tamat Sukan Komanwel di Gold Coast pada April lalu. - Foto Hazreen Mohamad
FATEHAH Mustapa kini berlatih di dalam negara sejak tamat Sukan Komanwel di Gold Coast pada April lalu. - Foto Hazreen Mohamad

Fatehah enggan ulas, mahu hubungi Beasley

KUALA LUMPUR: Masa depan ratu trek negara, Fatehah Mustapa kini menjadi tanda tanya selepas dia sah digugurkan daripada senarai ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos depan.

Pakar acara keirin dan pecut berkenaan enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai perkembangan itu.

"Tiada komen buat masa sekarang," jelas pelumba berpengalaman negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik London itu.

Sukan NSTP semalam melaporkan seorang pelumba trek berpengalaman bakal digugurkan dalam senarai ke Sukan Asia.

Fatehah bagaimanapun mengakui akan menghubungi ketua jurulatih negara, John Beasley bagi mendapatkan pandangan mengenai kedudukannya.

Atlet berusia 29 tahun berkenaan kini berlatih di dalam negara sejak tamat Sukan Komanwel di Gold Coast pada April lalu.

"Saya mengalami masalah kecederaan pergelangan tangan kiri dan masalah kesihatan bapa," jelasnya.

Dengan perkembangan terbaru itu, tugas Fatehah dalam acara keirin, pecut individu dan berpasukan bakal digalas rakan sepasukan, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi.

Berita Harian X