Selasa, 5 Jun 2018 | 8:18pm
HOWARD Lee Chuan How (tiga dari kiri) bersama Perunding Kejohanan Sukma Perak 2018, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (kiri) meninjau keadaan velodrom untuk acara berbasikal di Velodrom Rakyat Ipoh. - Foto ABDULLAH YUSOF
HOWARD Lee Chuan How (tiga dari kiri) bersama Perunding Kejohanan Sukma Perak 2018, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (kiri) meninjau keadaan velodrom untuk acara berbasikal di Velodrom Rakyat Ipoh. - Foto ABDULLAH YUSOF

Acara trek berbasikal SUKMA Perak dibatalkan

IPOH: Acara trek sukan berbasikal pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 Perak tidak akan diadakan, selepas Velodrom Rakyat yang menjadi gelanggang pertandingan didapati tidak selamat.

Pembatalan berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How selepas meninjau velodrom itu, sebentar tadi.

"Lantai reput dan ada bahagian yang sudah terjungkit serpihan. Saya akan pastikan tiada atlet Perak atau mana-mana negeri berkayuh di atas trek ini," katanya.

Walaupun acara trek itu menawarkan 12 pingat emas tetapi Howard tidak mahu menjadikan atlet mangsa keadaan.

Bagaimanapun, katanya, acara lebuh raya dan basikal bukit tetap akan dipertandingkan.

"Ada 12 pingat emas lagi jadi rebutan. Bolehlah negeri-negeri mencuba dapatkan emas dari sana.

"Saya minta maaf kepada atlet terbabit kerana tidak ada acara akan dibenarkan mereka bertanding atas trek ini," katanya.

Howard nyata kecewa kerana kos membaiki velodrom itu membabitkan belanja RM11 juta tetapi akhirnya ia tidak dapat digunakan.

"Ini bukan masa untuk mencari kesalahan sesiapa tetapi pihak terbabit perlu jawab pelbagai persoalan khususnya oleh rakyat.

"Ini wang rakyat. Oleh yang demikian perlu ada kawal selia mengenai penggunaannya. Kita akan panggil pihak terbabit untuk mendapat keterangan lanjut," katanya.

Selain meninjau Velodrom Rakyat, Howard yang diiringi bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan turut meninjau meninjau Stadium Perak, gelanggang boling padang dan lapang sasar di Chepor.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X