Isnin, 11 Jun 2018 | 8:40pm
MARKIMAN bersama beberapa orang bekas pemain Sepaktakraw Kebangsaan ketika sidang media khas berkaitan Mesyuarat Agung Tahunan PSM 2018 di Ali Cafe Tomyam Seafood, Jalan Pantai Baharu, Bangsar. - Foto Saddam Yusoff
MARKIMAN bersama beberapa orang bekas pemain Sepaktakraw Kebangsaan ketika sidang media khas berkaitan Mesyuarat Agung Tahunan PSM 2018 di Ali Cafe Tomyam Seafood, Jalan Pantai Baharu, Bangsar. - Foto Saddam Yusoff

Markiman cabar henti undi angkat tangan

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran mencabar kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menjalankan undi secara sulit pada pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu pada 24 Jun ini.   

Beliau yang bakal mencabar penyandang Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail menegaskan cara undi angkat tangan yang diamalkan sudah lapuk dan ketinggalan.   

"Undi secara angkat tangan akan mengekalkan individu yang sama walaupun tidak menunjukkan prestasi yang baik.   

"Ini kerana undi bukan atas dasar pembangunan sepak takraw namun kerana perasaan malu, terhutang budi dan sebagainya," jelasnya pada sidang media sebentar tadi.   

Selain Markiman dan Ahmad, turut dicalonkan bagi jawatan presiden adalah Datuk Akramudin Abd Aziz yang menyandang jawatan timbalan presiden.   

"Saya menerima sokongan menggalakkan, lebih baik berbanding ketika pemilihan pada 2014. Mereka sudah insaf. Saya harap ia diterjemahkan kepada undi pada 24 Jun nanti.   

"Saya harap mereka ketepikan hubungan baik, terhutang budi atau segan silu kepada presiden (Ahmad)," tambahnya.   

PSM dijadual mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) serentak dengan pemilihan barisan kepimpinan bagi penggal 2018-2021 dengan Ahmad menjadi pilihan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2002. 

Berita Harian X