Khamis, 21 Jun 2018 | 6:24pm
SEBAHAGIAN besar bekas pemain sepaktraw kebangsaan dari Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkumpul secara aman mendesak Datuk Ahmad Ismail yang kini sebagai presiden PSM melepaskan jawatan itu di ruang legar pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - Foto Nik Hariff Hassan
SEBAHAGIAN besar bekas pemain sepaktraw kebangsaan dari Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkumpul secara aman mendesak Datuk Ahmad Ismail yang kini sebagai presiden PSM melepaskan jawatan itu di ruang legar pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - Foto Nik Hariff Hassan

Kepemimpinan PSM perlu ditukar

 

KUALA LUMPUR: Semua wakil ahli gabungan diminta berfikir secara waras dan mendalam sebelum memilih siapa bakal menerajui barisan kepemimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk penggal 2018 hingga 2021 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan di sini, Ahad ini.

 

Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis, Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos berkata, beliau mengambil keputusan menyokong hasrat Datuk Markiman Kobiran mencabar Datuk Ahmad Ismail merebut jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kerana melihat banyak kepincangan berlaku dalam pembangunan sepak takraw tanah air sekarang.

 

Syed Araniri juga mendakwa kepemimpinan PSM sedia ada diketuai Ahmad juga dilihat tidak jujur dan kurang amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab diberikan ahli gabungannya.

 

"Saya percaya jika orang berkenaan masih memegang jawatan dalam PSM dan tiada perubahan berlaku maka sukan sepak takraw Malaysia akan menjadi bertambah malap.  Jadi saya berharap semua perwakilan akan berani melakukan perubahan bagi membolehkan kita mengembalikan kegemilangan sukan sepak takraw Malaysia di pentas dunia.

 

"Justeru, saya berharap perwakilan dan ahli gabungan akan memberi peluang kepada Datuk Markiman dan saya untuk melakukan pembaharuan dalam PSM. Malaysia pun sudah menubuhkan kerajaan baharu maka PSM pun berubah kepada kepemimpinan baharu kerana banyak kepincangan dilakukan oleh pemimpin sedia ada," katanya yang turut tercalon untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PSM menentang Datuk Akramuddin Abdul Aziz (penyandang) dan Datuk Abdul Jalil Ariffin (Bendahari PSM).

 

Terdahulu, Syed Araniri mendedahkan kepemimpinan PSM sedia ada perlu ditukarkan kerana mencetuskan pelbagai masalah dan kepincangan termasuk dari segi pemilihan pemain kebangsaan, pengurusan kewangan tidak cekap, pecah amanah dan kegagalan skuad kebangsaan menang emas di kejohanan besar seperti Sukan Asia 2014 serta digugurkan daripada program sukan teras oleh Kementerian Belia dan Sukan.

 

Sementara itu, calon naib presiden PSM, Syed Husain Syed Abu Bakar berkata, beliau mengambil keputusan untuk menyertai pasukan Markiman menentang kepemimpinan sedia ada kerana Ahmad dilihat gagal melaksanakan program pembangunan sukan sepak takraw dari peringkat akar umbi.

 

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah, melihat program pembangunan dilakukan PSM bukan hanya tidak teratus dan kurang kemas, malah gagal mencapai sasaran kerana kerjasama dengan Kementerian Pendidikan amat terhad.

 

"Sebagai contoh di peringkat Kementerian Pendidikan pernah mencadangkan supaya PSM mengambil alih Liga KPM, namun mereka tidak serius. Malah, sirkit remaja yang dianjurkan PSM juga kurang berjaya kerana ketiadaan kejohanan dan pusat kecemerlangan di peringkat negeri," katanya.

 

Sementara itu, bekas tekong kebangsaan, Rommi Suhendra Norsal melihat perubahan pucuk pimpinan PSM mampu menaikkan semula maruah sukan sepak takraw Malaysia ke taraf dunia.

 

"Kita sedia menerima sesiapa sahaja menjadi Presiden PSM asalkan bukannya Datuk Seri Ahmad Ismail, kerana beliau gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan biarpun sudah lebih 16 tahun menyandang jawatan terbabit.

 

"Kebanyakan pemain kebangsaan tidak kisah sama ada Datuk Markiman Kobiran atau orang lain menerajui PSM kerana kepemimpinan sedia ada sudah terbukti gagal membantu Malaysia membawa pulang pingat emas," katanya

 

 

Berita Harian X